SPR
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah mula dijual di Ibu Pejabat SPR Putrajaya atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor mulai semalam.

Menurut SPR dalam kenyataan hari ini, menerusi peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, suruhanjaya itu dibenarkan menjual daftar pemilih termasuk Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2021 (DPT BLN12/2021) dan Daftar Pemilih Induk 2021 (DPI 2021) secara salinan cetak dan softcopy.

“Daftar pemilih softcopy boleh didapatkan dalam dua format berbeza iaitu Portable Document Format (PDF) atau format Microsoft Access Database (MDB) dengan kadar harga yang telah ditetapkan dan boleh dibeli melalui Ibu Pejabat SPR di Putrajaya atau di semua Pejabat PRN,” menurut kenyataan itu.

Katanya, SPR sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab serta fungsi-fungsinya termasuk urusan penyediaan daftar pemilih yang kini diperakukan dan diwartakan secara bulanan.

Menurut SPR, DPT BLN12/2021 telah diwartakan pada 14 Jan, manakala DPI 2021 diwartakan pada 17 Jan lepas juga boleh disemak melalui beberapa kaedah termasuk di portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my; aplikasi dalam talian di https://mysprsemak.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak dan portal rasmi pejabat-pejabat PRN di laman http://ppn.spr.gov.my.

“Di samping itu, SPR juga menyediakan kemudahan semakan dalam talian di https://myspr.spr.gov.my, bagi pemilih berdaftar yang mempunyai akaun MySPR (sebelum ini dinamakan MySPR Daftar) selain menyemak senarai nama pemilih dalam DPT BLN12/2021 bagi bahagian pilihan rayanya,” menurut SPR.

SPR menegaskan bahawa pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik bagi warganegara Malaysia yang telah mencapai umur 18 tahun dan ke atas adalah berdasarkan maklumat warganegara diterima daripada Jabatan Pendaftaran Negara.

SPR menasihatkan semua bakal pengundi PRN Johor supaya membuat semakan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka mulai semalam di pautan berkenaan atau hubungi 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast