Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Majoriti mangsa banjir yang layak menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) memilih untuk datang sendiri mengambil wang tunai di Dewan MBSA Kota Kemuning, Seksyen 23, Shah Alam.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, situasi itu menyebabkan ramai penerima bantuan terpaksa beratur panjang selama beberapa jam.

Katanya lagi, pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang sebenarnya memberi pilihan kepada pemohon untuk sama ada menerima tunai atau secara pindahan dana elektronik (EFT) ke dalam akaun bank masing-masing.

Tambah beliau, keadaan menjadi sukar dikawal apabila penduduk memilih hadir lebih awal daripada yang yang telah ditetapkan.

“Namun majoriti pemohon memilih untuk datang mengambil tunai dan ini menyebabkan barisan yang panjang di tempat yang disediakan.

‘Keadaan menjadi sukar dikawal berikutan majoriti penduduk memilih untuk hadir lebih awal berbanding masa yang ditetapkan melalui SMS yang mereka terima, menyebabkan pemohon hadir beberapa jam lebih awal daripada waktu janji temu yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tular gambar di media sosial pemohon bantuan banjir beratur panjang semalam.

Justeru Amirudin memohon agar penerima bantuan menepati waktu temu janji yang ditetapkan melalui hantaran pesanan ringkas (SMS).

“Hadirlah pada hari dan masa yang diberi. Insya Allah dengan kerjasama dan persefahaman semua pihak, penyaluran BSB
akan menjadi lebih lancar dan selesai mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” rayunya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast