Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan pertuduhan kes rasuah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi berkaitan tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak menutup penghujahannya hari ini.

Barisan peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Jagjit Singh dan Azrul Z Strok menggulung hujah akhir ketika prosiding pembelaan Rosmah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Mohamed Zaini kemudian menetapkan 9 Mac ini bagi pendakwaan memfailkan hujah bertulis manakala 31 Mac bagi pembelaan memfailkan hujahan bertulis berkaitan pembelaan itu.

Manakala bagi hujah lisan pula, Mohamed Zaini menetapkan 5 April ini.

Untuk makluman, Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memberikan keterangan selama 42 hari dengan 23 saksi pendakwaan dan dua dari pasukan pembelaan.

Rosmah juga tampil di kandang saksi memberikan keterangan membela diri.

Selain itu, Najib juga sepatutnya menjadi saksi pembelaan untuk memberikan keterangan dalam kes projek sistem tenaga solar bernilai RM1.25 bilion namun pada saat-saat akhir dimaklumkan tidak akan berbuat demikian.

Bagaimanapun, mahkamah dimaklumkan oleh peguam mewakili Rosmah, Datuk Jagjit Singh, pihaknya telah membuat keputusan pada saat-saat akhir bahawa keterangan oleh Najib  sebenarnya hampir sama sahaja dengan saksi-saksi pembelaan lain.

Kata Jagjit, keterangan Najib yang merupakan saksi pembelaan ke-3 itu lebih kepada bersifat menyokong atau corroborative sahaja.

Dalam pada itu, pagi tadi, saksi pembelaan terakhir, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod telah memberikan keterangan selain di soal balas oleh pihak pendakwaan dan pemeriksaan semula oleh pembelaan.

Siti Azizah merupakan bekas Pegawai Khas di di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes Rosmah, 70, atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak) untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui Datuk Rizal Mansor melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Rosmah turut didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak mendapatkan projek serupa.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 20 Disember 2016 di kediaman rasmi di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama iaitu hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette