Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasaran hartanah Malaysia mencatatkan peningkatan ketara dalam Indeks Permintaan Sewa pada suku keempat 2021 dengan kenaikan 30.53 peratus suku ke suku dan 57.91 peratus tahun ke tahun, menurut PropertyGuru Malaysia.

Menurut laman web hartanah dalam talian itu, Indeks Permintaan Sewa yang mewakili jumlah penyewa hartanah yang berminat berdasarkan pertanyaan ke atas unit sewaan yang disenaraikan di PropertyGuru.com.my, dijangka terus meningkat pada suku semasa apabila pengguna mengalihkan tumpuan daripada membeli kepada menyewa.

Pengurus Negara PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my bagi Malaysia, Shylendra Nathan berkata, permintaan yang semakin meningkat bagi hartanah sewa berkemungkinan disebabkan keutamaan yang berubah dalam kalangan pencari rumah apabila berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman rumah dalam keadaan semasa kerana bank terus bersikap konservatif mengenai kelulusan pinjaman.

Sehubungan itu, beliau berkata, bakal pembeli rumah menangguhkan sementara rancangan pembelian bagi mengatasi tempoh ketidaktentuan ekonomi.

“Sebaliknya, mereka memilih untuk menyewa rumah bagi memenuhi keperluan naik taraf mereka atau meneruskan penambahbaikan gaya hidup yang diinginkan, sementara membina semula keyakinan untuk membeli hartanah kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Laporan Pasaran Hartanah Malaysia PropertyGuru bagi suku pertama 2022, pasaran hartanah terus menunjukkan aliran peningkatan secara beransur-ansur.

Indeks Harga Jualan yang mengukur keyakinan penjual melalui harga permintaan yang disenaraikan di PropertyGuru.com.my terus meningkat sebanyak 0.14 peratus tahun ke tahun walaupun merosot 0.19 peratus suku ke suku pada suku keempat 2021.

“Berikutan liberalisasi kawalan pergerakan dan aktiviti ekonomi pada suku keempat 2021, kami menyaksikan peningkatan dalam keseluruhan aktiviti pasaran hartanah di Malaysia,” kata Shylendra.

PropertyGuru Malaysia juga percaya bahawa pasaran ini akan kekal optimis namun berhati-hati terhadap peningkatan berterusan dalam persekitaran pasaran umum sepanjang tahun ini, didorong oleh keadaan ekonomi yang lebih baik dan kadar vaksinasi yang lebih tinggi.

Sementara itu, Indeks Bekalan Jualan yang menunjukkan aliran bekalan melalui jumlah penyenaraian hartanah yang baru dilancarkan dan jualan semula di PropertyGuru.com.my, mencerminkan sebahagian daripada keyakinan ini.

Pada suku keempat 2021, bekalan meningkat sebanyak 13.54 peratus suku ke suku selepas pertumbuhan negatif pada suku sebelumnya dan menokok 22 peratus tahun ke tahun berbanding peningkatan 5.3 peratus tahun ke tahun pada suku sebelumnya.

Shylendra berkata keyakinan pembeli mungkin akan terjejas berikutan kekurangan insentif langsung bagi pasaran hartanah dalam Bajet 2022 dan berakhirnya Kempen Pemilikan Rumah pada 31 Dis, 2021 sebaik sahaja pasaran mulai pulih.

“Oleh itu, jangkaan kepada pemulihan pasaran hartanah yang pantas pada tahun ini telah disederhanakan.

“Sebaliknya, kita boleh menjangkakan peningkatan secara beransur-ansur, stabil dan berhati-hati. Sementara itu, pasaran sewa akan terus berkembang berikutan peningkatan permintaan dalam kalangan mereka yang memilih untuk menangguhkan rancangan pembelian dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi ini,” katanya. – MalaysiaGazette