MELAKA – Tindakan operator judi dalam talian beroperasi di sebuah pasar mini menggunakan perkataan ‘berkat’ nyata gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila diserbu polis dalam satu operasi, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 11.30 pagi tadi, pemeriksaan mendapati penyewa premis di Tanjung Kling itu meletakkan pelbagai barangan runcit di dalam kedai bagi mengaburi aktiviti sebenar mereka.

“Antara barangan runcit terbabit adalah roti, makanan ringan dan minuman tapi sebenarnya mereka berselindung daripada aktiviti sebenar iaitu menjual kad tambah nilai bagi aktiviti judi dalam talian sejak tiga bulan lalu.

“Premis ini sebelum ini sudah dua kali dikenakan tindakan namun terus berdegil menyebabkan kita terpaksa bertindak tegas meminta pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik hari ini,” katanya ketika ditemui media selepas operasi berkenaan di sini hari ini.

Tambahnya, pemotongan bekalan elektrik dibuat mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289)

Operasi melibatkan 23 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dan 15 pegawai TNB.

“Dalam operasi hari ini, sebanyak 23 premis yang masih berdegil kerana menjalankan aktiviti judi dalam talian walaupun pernah diserbu sebelum ini.

“Ia membabitkan 10 premis di Melaka Tengah, Alor Gajah (8) dan lima premis di daerah Jasin selain turut menahan 53 suspek berusia 16 hingga 64 tahun untuk membantu siasatan,” katanya.