Seorang pekerja melakukan persiapan bagi kemasukan pesakit Covid-19 yang baharu dalam Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 16 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang akan kembali beroperasi mulai esok dengan skala yang lebih kecil berikutan peningkatan kes positif Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, PKRC berkenaan dibuka semula bagi memberi laluan kepada hospital-hospital lain menumpukan rawatan terhadap kes bukan kes Covid-19 yang telah tertangguh selama dua tahun.

“Ini bukanlah kerana kita tidak cukup katil-katil di hospital tapi ini lebih kepada langkah langkah pre-emptive (waspada) dan memberi ruang hospital-hospital kita yang mula memberi rawatan bukan Covid yang tertangguh dua tahun supaya tidak terganggu,” katanya ketika sidang media.

PKRC itu ditutup pada 8 Februari lalu berikutan kes membabitkan kategori tiga, empat dan lima menunjukkan angka penurunan mendadak.

Lebih 166,000 pesakit Covid-19 ditempatkan di Maeps sepanjang penularan Covid-19 merebak ke negara ini.

Beliau berkata, PKRC tersebut akan menumpukan rawatan kepada pesakit Covid-19 yang berisiko rendah di kawasan Lembah Klang.

Ujar Khairy, buat permulaan sebanyak 100 katil disediakan di PKRC berkenaan.

“Ini strategi kita untuk menangani gelombang Omicron di mana ada katil untuk risiko rendah disediakan untuk tempoh singkat daripada gelombang Delta,” jelasnya.

Beliau menjangkakan PKRC MAEPS yang terletak di Serdang itu akan beroperasi sehingga gelombang varioan Omicron reda kelak.-MalaysiaGazette