BALIK PULAU – Pembinaan sebuah jambatan di Sungai Burung berhampiran Pantai Malindo di sini, meresahkan kira-kira 2,000 penduduk sekitar kawasan tersebut.

Ia susulan mereka terpaksa mengambil lencongan jalan yang jauh untuk ke jeti nelayan selain menjejaskan pendapatan peniaga makanan berhampiran kawasan pantai tersebut.

Lebih teruk, seorang pekebun terpaksa menanggung kerugian lebih RM50,000 selepas tanamannya musnah akibat pelaksanaan projek tersebut.

Pembinaan jambatan itu turut menyebabkan tanaman pekebun berhampiran musnah akibat dimasuki air laut.

Menurut Mohd Azhari Ramli, 52, tanamannya musnah sepenuhnya selepas air laut memasuki kebun yang diusahakannya sejak 30 tahun lalu.

“Pokok limau, serai, kelapa, pisang serta lain-lain tanaman saya musnah sepenuhnya dan perkara ini sudah berlarutan sejak enam bulan sekali gus menyebabkan saya kerugian lebih RM50,000.

Mohd Azhari menunjukkan pokok limau miliknya musnah.

“Ini saja mata pencarian saya untuk menyara kami sekeluarga dan lebih menyedihkan tiada mana-mana pihak yang terlibat dalam projek berkenaan tampil untuk melakukan perbincangan bagi mengatasi masalah yang dialami.

“Bukan saya seorang saja alami kerugian ramai lagi pekebun lain turut mengalami nasib yang sama,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, kira-kira 50 individu yang terdiri daripada wakil penduduk, persatuan penjaja, persatuan nelayan serta ahli kariah masjid melakukan bantahan aman bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka berhubung pembinaan jambatan di kawasan Sungai Burung.

Penduduk melakukan bantahan aman berhubung pembinaan jambatan tersebut.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail.

Difahamkan, Jabatan Kerja Raya kini dalam proses pembinaan jalan raya yang menghubungkan Sungai Pinang dengan Kampung Perlis di sini.

Jambatan di Sungai Burung itu turut termasuk dalam pembinaan jalan raya tersebut.

Sementara itu, wakil penduduk, Borhan omar, 52, berkata, mereka tidak dimaklumkan berhubung penukaran pelan pembinaan jambatan tersebut yang kini menyukarkan kehidupan penduduk setempat.

Borhan.

Jelas beliau, penutupan laluan utama ke Pantai Malindo bagi pembinaan jambatan tersebut menjejaskan pendapatan pelbagai pihak khususnya mereka yang terdiri daripada golongan B40.

“Kami tidak halang pembangunan di sini namun jangan disebabkan ia penduduk di sini terpaksa berdepan pelbagai kesukaran khususnya hilang mata pencarian.

“Kebanyakan mereka di sini terdiri daripada golongan nelayan, peniaga kecil serta ada yang mengusahakan eko pelancongan berhampiran Pantai Malindo tetapi disebabkan pembinaan jambatan ini orang ramai termasuk pelancong tidak datang susulan mereka perlu mengambil lencongan jauh untuk ke sini.

Pembinaan jambatan di Sungai Burung, Balik Pulau menjejaskan kehidupan harian penduduk.

“Jadi kami harap jabatan yang terlibat dalam projek jalan raya serta jambatan ini melakukan perbincangan untuk menstrukturkan semula pembinaan,” katanya. – MalaysiaGazette