Youzaimi Mohd Yusof menunjukkan lima jari sebagai tanda angka beliau di atas kertas undi menjelang PRN Johor di DUN Endau 12 Mac ini.

MERSING – Calon Barisan Nasional (BN), Youzaimi Mohd Yusof akan pastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau akan menjadi milik Barisan Nasional (BN) semula.

Menurutnya, misi tersebut akan dilaksanakan sebaik-baiknya dalam tempoh dua minggu ini selepa proses penamaan calon selesai tanpa masalah.

Youzaimi yang juga Ketua UMNO Bahagian Mersing berkata, beliau akan bekerja keras sepanjang kempen bagi memastikan misi penting BN ini berjaya direalisasikan.

Menurut beliau, DUN ini antara kerusi panas PRN Johor selepas penyandangnya, Alwiyah Talib yang bertanding atas tiket BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 bertindak melompat parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Justeru pertembungan ini menyaksikan Endau antara kerusi panas PRN Johor.

“Beliau (Alwiyah) lompat ke Bersatu selepas dia menang dan saya yakin pengundi Endau melihat peristiwa itu menimbulkan kemarahan pengundi.

”Di Mersing ini bukan DUN saja lompat, Parlimen pun lompat juga. Pengundi memang cukup marah dan jentera yang kerja keras untuk kemenangan parti pada PRU14.

“Lantaran itu, BN akan mendapat sokongan kukuh kerana DUN ini kubu kuat BN di Johor. Jadi sentimen kepada BN itu sangat kuat terutamanya pengundi yang telah memberi mandat kepada Alwiyah sebelum ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas penamaan calon di Dewan Serbaguna Endau di sini.

Tambah beliau, selain berdepan dengan PN, BN juga mendapat tentangan dari Pakatan Harapan, Parti Pejuang Tanahair dan bebas.

Dengan sokongan kukuh pengundi, Youzaimi percaya untuk ‘menakluk’ semula kawasan ini bukan masalah besar namun tidak pernah melihat perkara itu sebagai mudah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast