Anwar Ibrahim RMK12 Twelfth Malaysia Plan
Anwar Ibrahim

PORT DICKSON – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa dengan pertembungan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin antara PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata semasa mesyuarat mengenai pengagihan kerusi, tiada masalah timbul antara PKR dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain kerana keputusan dibuat dengan semangat setiakawan.

“Kita dengan PH tiada masalah, berunding semasa mesyuarat… akhirnya kita patuh kepada semangat setiakawan, tetapi ini tidak berlaku di Larkin (dengan MUDA), sudah tentu dukacita,” katanya kepada pemberita selepas hadir program bersama Majlis Belia Malaysia (MBM)  di Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson di sini semalam.

PRN Johor kali ini menyaksikan pertembungan enam penjuru di DUN Larkin melibatkan Rasid Abu Bakar mewakili MUDA, Hairi Md Shah (Barisan Nasional) dan calon PKR Dr Zamil Najwah Arbain.

Turut bertanding di Larkin ialah calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Bujang, selain pakar motivasi dan pendakwah bebas Norramadan Buan yang merupakan calon Bebas serta calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Mohamad Riadz Mohamad Hashim.

Ditanya mengenai kesan daripada pertembungan kerusi tersebut, Anwar berkata rakyat harus menilai kedudukan sebenar bahawa perlunya satu pembangkang yang kuat, konsisten serta tidak boleh disogok dan dibeli.

Dalam pada itu beliau berkata PH masih belum menentukan calon Menteri Besar Johor  jika menang nanti dan perbincangan sebelum ini lebih fokus kepada strategi kemenangan parti pada PRN Johor itu nanti.

“Calon Menteri Besar belum ditentukan, kita  mahu pastikan kemenangan, ada perbincangan awal tetapi tiada yang serius, baru-baru ini kita bincang tentang kerusi, strategi bersama antara pakatan DAP serta Amanah (Parti Amanah Negara),” katanya.

Pada PRN Johor kali ini, Amanah dan DAP bertanding menggunakan logo PH manakala PKR menggunakan logonya sendiri.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast