Amira Aisya
Calon MUDA N.41 Puteri Wangsa, Amira Aisya (kiri) memeluk ibunya, Rosita Manas sebelum berjumpa penduduk bagi meraih undi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pasar Cina Taman Daya, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 27 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Calon Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd. Aziz bukan seorang anak yang derhaka.

Ibu Amira Aisya, Rosita Manas, 56, berkata, tidak timbul isu sama ada beliau bersetuju atau tidak Amira Aisya menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Daya itu berkata, sebagai ibu dia reda Amira Aisya menyertai PRN Johor.

“Tak ada. Masya-Allah dia tak pernah jadi anak derhaka. Dia anak yang baik dan saya pastilah di luar sana ramai anak-anak yang baik. Tak ada. Dia mendapat restu saya sepenuhnya insya-Allah.

“Setiap masa dia memang hubungi saya dan dia akan beritahu pergerakan dan apa yang dia hendak buat,” kata Rosita kepada MalaysiaGazette.

Rosita menemani Amira Aisya bertemu dengan rakyat di Pasar Pagi Cina Taman Daya di sini.

Rosita (kiri) dan Amira Aisya bertanyakan sesuatu kepada peniaga.

Dia mengambil kesempatan masa yang terluang pada pagi Ahad untuk menemani anak ketiga daripada empat beradik itu bertemu dengan pengundi.

Amira Aisya sebelum ini mendapat kecaman daripada warganet selepas media melaporkan kononnya Setiausaha Agung Muda tersebut pernah berjanji kepada ibunya untuk tidak menyertai politik.

Bagaimanapun Amira Aisya terpaksa memungkiri janji itu selepas dicalonkan oleh Muda di DUN Puteri Wangsa.

“Orang salah faham. Sebenarnya bukan saya tidak bersetuju Amira hanya kata dia tidak aibkan ibu bapanya.

“Tapi memang saya tahu dari dulu, saya cakap kepada dia kalau awak hendak buat perubahan, awak perlu berada dalam sistem. Kalau kita di luar memang tidak boleh nak ubah apa-apa. Ini yang dia maksudkan.

“Dia yang tak nak politik. Tapi selama ini memang saya nampak dia ke arah untuk membuat perubahan, yang mana ia memang baguslah. Sama ada politik ataupun tidak politik, buat perubahan, tapi akhirnya (dia pilih) politik,” kata Rosita.

Menurut Rosita, beliau reda dan sangat bangga serta sangat setuju dengan perjuangan Amira Aisya.

Rosita menyedari mengenai budaya fitnah dalam politik dan sedar anaknya akan terdedah terhadap serangan peribadi sepanjang kempen PRN Johor berlangsung.

“Lumrahlah dalam politik ada fitnah, tetapi saya harap rakyat Malaysia lebih cerdik dalam menilai, tak kisahlah apa parti pun.

“Cuma kadang-kala kita tidak boleh jangka, manusiakan? Saya doakan yang terbaik untuk dia, terbaik untuk parti dan untuk semua yang bertanding. Memberi kebaikan kepada rakyat,” kata Rosita.

Menurut Rosita, sejak zaman persekolahan Amira Aisya yang telah kehilangan ayah sewaktu kecil telah menunjukkan semangat berdikari dan kepimpinan.

Rosita menasihatkan Amira Aisya supaya bekerja keras dan buat yang terbaik untuk rakyat kerana itu adalah jalan yang telah pemimpin muda itu pilih. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast