Calon Perikatan Nasional (PN) N.07 Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal (tengah) beramah mesra dengan penduduk yang bersarapan pagi ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Warung Pokok Asam, Pagoh, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 FEBRUARI 2022.

PAGOH – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal enggan melayan isu remeh-temeh yang dibangkitkan oleh mana-mana pihak sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong itu berkata, beliau hanya mahu fokus untuk bertemu dengan seramai mungkin pengundi di kawasan tersebut.

“Saya sebetulnya tidak mahu menyerang mereka dengan isu remeh-temeh, apa yang penting macam mana pembangunan di bawah Parlimen Pagoh ini dapat diteruskan dan masyarakat di DUN Bukit Kepong dapat menerima limpahan pembangunan di kawasan ini.

“Kalau dilihat semula terlalu banyak projek pembangunan yang telah dibuat di bawah Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti pembinaan masjid, surau dan sekolah kerana beliau orang lama di sini,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas bersarapan bersama penduduk di Warung Pokok Asam, Paya Redan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang yang kini dikenali sebagai DUN Bukit Kepong, Ismail Mohamed berkaitan isu perumahan terbengkalai di kawasan itu.

Ismail yang mewakili Barisan Nasional (BN) akan menentang Sahruddin dari Perikatan Nasional bersama dua lagi calon dari Parti Ikatan Demokratik (MUDA), Nurafiqah M Zulkifli dan calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Md Taib Md Suhut.

Sahruddin Jamal selepas bersarapan pagi bersama penduduk ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Warung Pokok Asam, Pagoh, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 FEBRUARI 2022.

Ismail yang pernah memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) juga kecewa melihat projek-projek perumahan yang dibangunkan ketika sedang berkhidmat dahulu, kini tergendala begitu sahaja.

Dalam pada itu, Sahruddin yang juga Setiausaha Perikatan Nasional Negeri Johor berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada masyarakat setempat untuk membuat penilaian sewajarnya dan menggunakan kebijaksanaan masing-masing dalam memilih calon mereka.

“Siapa tak kenal UMNO (mereka) hanya berjanji tapi kadang-kadang janji itu hanya gula-gula sahaja, jadi saya harap masyarakat dapat berfikir dan Haji Ismail (calon BN) berhati-hati ketika bercakap kerana kadang-kadang kita umpama menepuk air di dulang akhirnya terpercik di muka sendiri,” ujarnya.

Sahruddin turut menjelaskan pembangunan terbengkalai dan tergendala yang dimaksudkan oleh Ismail sebenarnya merujuk kepada projek gula-gula parti berkenaan pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 sebelum ini.

Beliau berkata, kebanyakan status tanah berkait projek pembangunan itu bermasalah serta bertindih dan akhirnya tidak dapat direalisasikan.

Sahruddin berkata, ia membabitkan projek perumahan di Lenga sepatutnya dibina oleh Johor Land, selain isu sama di Bukit Kepong dan Gersik yang didakwa mempunyai masalah dari segi status tanah. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. sindiran tajam dan MESEJ tersirat/// TMJ jika JDT KALAH akan letak jawatan selamanya….bermaksud jika ada pemimpin2 masih terlibat RASUAH dan SALAHGUNA KUASA sila letak jawatan begitu juga rakyat kena celik mata dan hati boleh BEZAKAN mana KACA dan PERMATA

Comments are closed.