BATU PAHAT – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menghantar surat saman kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak menyemak perkara itu dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) jika beliau berbohong.
“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk hantar letter of demand (LOD) atau surat saman kepada Muhyiddin dan Tun Mahathir.
“Dua surat saman itu dihantar minggu lepas dan jika individu itu katakan bahawa saya tidak menghantar, maka peguam saya telah menghantar surat itu dari firma guamannya.
“Saya minta orang itu tanya sendiri kepada dua pemimpin itu, sama ada saya bohong atau sudah terima LOD,” katanya ketika ditemui selepas program Perjumpaan Presiden UMNO bersama calon dan pengundi BN DUN Parit Raja di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan mengenai satu mesej tular di media sosial apabila seorang individu mendakwa Ahmad Zahid berbohong dan sanggup menjadi saksi bagi pihak Mahathir sekiranya kes itu dibawa ke mahkamah.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilapor menuntut Mahathir untuk memohon maaf di atas kenyataannya yang mendakwa beliau pernah meminta supaya siasatan kes rasuah dihadapinya dihentikan.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menafikan dakwaan pernah mengeluarkan hantaran di media sosial untuk melakukan sumpah laknat di Masjid Pagoh.
Beliau meminta individu yang menuduhnya menyatakan perkara sebenar serta tidak menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai medan memburukkan mana-mana pihak.
“Taktik lama (burukkan individu) telah ditolak oleh rakyat, jangan guna kaedah lama untuk tundukkan pihak musuh,” tambahnya. – MalaysiaGazette