Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang beliau  pernah bertemunya untuk meminta siasatan kes rasuah dihentikan.

Serentak itu beliau mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada Mahathir untuk memohon maaf atas pembohongannya.

Presiden UMNO itu menegaskan beliau sekali pun tidak pernah meminta Mahathir berbuat demikian.

Katanya, beliau dijemput bersama-sama dengan presiden-presiden parti oleh Mahathir untuk menyokongnya bagi membentuk kerajaan perpaduan.

”Mana mungkin saya minta digugurkan tuduhan di hadapan ramai. Saya tidak pernah sekalipun meminta Tun M untuk berbuat demikian,” kata Zahid yang menyanggah dakwaan Mahathir.

Lagipun tambah Zahid, mana mungkin beliau melobi untuk digugurkan tuduhan sebelum Mahathir menjadi Perdana Menteri Ketujuh kerana ketika itu beliau adalah timbalan perdana menteri dan tiada sebarang siasatan rasuah, jauh sekali dikenakan pertuduhan.

Sehubungan, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada Mahathir untuk beliau memohon maaf atas pembohongannya.

Mahathir dalam sidang medianya hari ini mendakwa Zahid pernah bertemunya meminta supaya siasatan kes rasuah terhadap beliau dihentikan.

Pengerusi Parti Pejuang Tanahair itu memberitahu pertemuan itu ketika ada ura-ura bahawa beliau akan menjadi perdana menteri.

Ketika itu, katanya, Presiden UMNO itu mahu siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya dihentikan. – MalaysiaGazette