Mohamad Hasan

KLUANG – Barisan Nasional (BN) BN akan terus mendesak supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 disegerakan, tidak kisah apapun keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diketahui pada 12 Mac ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, UMNO sedang berjuang untuk mengembalikan kestabilan politik yang dikecapi oleh rakyat Malaysia sebelum tahun 2018 semasa BN memerintah.

“Kita akan tetap desak untuk PRU disegerakan tidak kisah menang besar atau tidak, tidak kisah jika kalah sekalipun.

“Kita hendak PRU dan PRN yang diadakan di Johor bukan kerana tamak kuasa, bukan untuk ganggu-gugat tetapi mahu kembalikan kestabilan politik.

“Hanya dengan kestabilan politik, keyakinan rakyat wujud, pelabur juga senang melabur di negara ini. Kesejahteraan dan kestabilan ini juga akan memberi peluang kepada pemimpin untuk terus memimpin dan menjaga rakyat bangunkan negara,” katanya pada sidang media hari ini.

Mohamad Hasan ketika hadir pada perjumpaan bersama Jentera BN bagi membantu calon Barisan Nasional N.26 Machap, Datuk Onn Hafiz sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Bongsu Sepadu Jalan Peladang, Machap, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 28 FEBRUARI 2022.

Tegas beliau, selagi PRU tidak diadakan, pemimpin-pemimpin yang menerajui kerajaan hari ini akan berfikir siang dan malam sama ada kerajaan yang ada ini kekal atau sebaliknya.

Mohamad berkata, apabila kerajaan asyik bertukar tangan seperti sekarang, semua perancangan tidak dapat dibuat.

Perjanjian yang dimeterai juga boleh dibatalkan.

“Kalau begini situasinya mana mungkin pelabur hendak masuk ke sini,” jelas beliau.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan dengan calon dan jentera DUN Machap di sini.

Bercakap pada sidang media, Mohamad berkata, kerajaan yang ada ketika ini ‘selamat’ kerana mempunyai perjanjian persefahamaan (MoU) dengan pembangkang.

“Kita juga tidak tahu, kita yang minta adakan PRU-15 kita akan menang atau tidak. Jika Pakatan Harapan menang majoriti tidak apalah.

“Tidak kisah siapa jadi kerajaan tapi biarlah kerajaan itu stabil, yang boleh urus negara dengan baik sekali. Kalau macam sekarang ini, untung pun kerana ada MoU dengan pembangkang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

e

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast