BAKRI – Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin mahu memperkasakan ekonomi dan meningkatkan capaian internet di kawasan tersebut jika dipilih menjadi wakil rakyat di kawasan itu.
Perkara itu terkandung dalam lapan teras utama manifestonya yang ditawarkan kepada pengundi-pengundi Bukit Naning.
“Saya mahu memajukan sistem digital dalam kawasan ini namun jaringan internet masih menjadi masalah di kebanyakan kawasan di sini. Masalah ini sering menjadi rungutan penduduk sekitar yang tidak berpuas hati.
“Pada saya tumpuan ini akan memberi faedah berganda kerana dengan kemajuan rangkaian digital, penduduk di sini dapat memasarkan barangan pertanian. Seperti yang kita ketahui kawasan Bukit Naning ini terlibat dalam pertanian seperti tanaman nanas, ubi dan sebagainya,” katanya ketika melakukan walkabout di sekitar Kampung Parit Tengah, Air Itam Muar, hari ini.
Mohd Fuad menghadapi tentangan empat penjuru antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan seorang calon bebas.
Pada Pilihan Raya Umum lalu, kerusi DUN Bukit Naning dimenangi oleh PH dengan majoriti 1,552 undi.
Memasuki hari ketiga kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mohd Fuad berkata, beliau sudah menemui 30 peratus pengundi di DUN tersebut.
“Tiga hari berkempen di DUN Bukit Naning ini saya dapat menemui hampir 30 peratus pengundi di kawasan ini. Saya baru lepas melawat dua ke tiga kilang industri kecil yang berada dalam kawasan DUN Bukit Naning yang mana pengusahanya membuat kerepek, tempe dan sebagainya.
“Saya amat berpuas hati dengan aktiviti yang dilakukan dalam kawasan ini dan insha Allah kita akan membuat penambahbaikan dari segi geo digitalnya untuk memasarkan barang-barang yang berkaitan,” katanya.
Ditanya cabaran beliau untuk menentang penyandang kerusi DUN Naning, Mohd Fuad berkata, pengundi Bukit Naning kini mempuyai pilihan lain untuk memilih beliau yang merupakan anak jati kawasan ini.
“Oleh itu saya merayu pengundi DUN Bukit Naning memberikan mandat ini kepada saya sebagai anak jati yang lahir di kawasan ini. Bukit Naning adalah tanah tumpah darah saya dan saya ingin berbakti kepada DUN Bukit Naning ini dengan sehabis baik,” katanya dengan bersungguh-sungguh. – MalaysiaGazette