SEGAMAT – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah menggunakan pendekatan gerak kerja jentera Jalinan Rakyat (JR) Pergerakan Wanita UMNO sebagai model dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Saraswati Nallathamby yang merupakan Ketua Wanita MIC Johor berkata, wadah tersebut akan dikombinasikan bersama pengalamannya selama 33 tahun dalam MIC.
“JR terbukti memberi impak memberi kesan dan membantu parti UMNO selama ini dan jika dihentikan seolah-olah jantung terhenti maka matilah seluruh jentera parti.
“JR melaksanakan pendekatan dari bawah ke atas tanpa perlu meninggalkan pendekatan atas atas ke bawah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Selain itu Saraswati berkata, kerjasama strategik bersama jentera Pergerakan Wanita UMNO dan parti komponen lain mampu mendekati semua lapisan masyarakat selain memperkukuhkan hubungan bersama organisasi lain.
Ibu anak dua dan berpengalaman luas dalam dunia perniagaan itu juga akan memperkasakan nilai JR kepada bermula dari dalam diri sendiri, keluarga dan semua ahli-ahli MIC.
“Budaya nilai positif JR harus dicontohi perlu ditanam dan dipupuk dalam keluarga besar Wanita MIC untuk memastikan generasi seterusnya memiliki jati diri.
”Kita perlu sedar bahawa kita adalah wakil kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Kita perlu jujur dan jika mahukan parti kembali diterima rakyat, kita perlu menjiwai setiap erti perjuangan saperti Wanita UMNO lakukan,” katanya.
Saraswaty juga mahu golongan wanita mahir dalam bidang pengumpulan data penyelidikan, penguasaan media, pendidikan, serta pengumpulan bantuan perniagaan dalam meningkatkan peluang pekerjaan.
Meskipun pertama kali bertanding menjadi calon, beliau tekad untuk memenangi hati rakyat dan yakin dengan strategi JR yang disifatkan sebagai komprensif untuk mendekati semua lapisan masyarakat.
Beliau menyatakan semangat dan keyakinan bersama penyokongnya membara dan akan berusaha menyatuni semua masyarakat termasuk penduduk Felda di DUN Kemelah.
DUN Kemelah menyaksikan pertembungan empat penjuru dan beliau akan bertanding bersama seorang calon wanita, Normala Sudirman (Perikatan Nasional) dan dua calon lelaki iaitu Dr. Sulaiman Mohd.Noh (PKR) dan Noriza Sahardin (Pejuang). – MalaysiaGazette