Calon Bebas N.08 Bukit Pasir, Kapt (B) Najib Lep bergambar bersama jenteranya pada sidang media khas sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di PDM Panchor, Pagoh, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2022.

PAGOH – Calon bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, Najib Lep mendakwa ada seorang presiden parti menghubunginya selepas dirinya mengambil langkah untuk bertanding calon bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir itu  berkata, panggilan itu dibuat presiden berkenaan pada pukul 3.30 pagi disifatkan sebagai panggilan penting kerana sudi untuk mengadakan pertemuan empat mata dengannya.

“Jam 3.30 pagi mendapat panggilan telefon daripada seorang presiden sebuah parti tapi saya cakap nanti, tengoklah.

“Dia nak jumpa dan sebagainya, dia nak jumpa tapi saya saya tak boleh sebut siapa yang telefon saya, petang tadi pun ada juga simpan sahaja untuk kenangan,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Panchor malam ini.

Dalam pada itu, Najib juga mendakwa beliau turut menerima panggilan daripada beberapa individu berhubung tindakan bertanding bebas di DUN Bukit Pasir.

Bagaimanapun, beliau enggan memperincikan presiden parti mana menghubunginya bagi mengadakan perbincangan dengan beliau.

“Yang risik saya empat lima orang yang buat panggilan telefon peribadi. Salah seorang daripada mereka adalah presiden tapi bukan parti besar pun parti biasa sahaja,” katanya lagi.

Calon Bebas N.08 Bukit Pasir, Kapt (B) Najib Lep bercakap pada sidang media khas sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di PDM Panchor, Pagoh, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2022.

Pada penamaan calon PRN Johor pada 26 Februari lalu, Najib mengejutkan ramai pihak dengan mencalonkan dirinya sebagai calon bebas bagi kerusi DUN Bukit Pasir.

Najib adalah satu-satunya wakil Pas sebelum DUN Johor dibubarkan pada 22 Januari lalu.

Langkah Najib itu menyebabkan dirinya dipecat kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan turut memaklumkan Najib telah menolak satu lagi kerusi ‘boleh menang’ yang ditawarkan kepadanya.

Ditanya mengenai keputusan itu melanggar wala (setia) ahli Pas, Najib berkata, pucuk pimpinan parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu enggan mendengar luahan akar umbi yang menjadi kemelut kepada isu berkenaan.

“Kalau ikutkan taat kepada ketua ahli-ahli Pas wala tapi bila luahan dan pendapat akar umbi di DUN Bukit Pasir dipandang ringan akan jadi kemelut dan masalah.

“Ahli Pas memang wala, saya pun wala tapi pendapat yang diutarakan. Saya kepalai Pas di Bukit Pasir, ikut justifikasi nak ikut pun tak jelas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette