S. Dayalan menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung penipuan penjualan tiket bas VTL ke Singapura.

JOHOR BAHRU – Ratusan individu dipercayai ditipu oleh scammer yang menjual tikel bas bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melalui dalam talian.

Tiket yang dijual kepada pengembara dari Singapura itu berharga mahal, kira-kira S$200 (RM619) tetapi apabila diperiksa senarai untuk menaiki bas, nama pembeli tidak tersenarai.

Serentak itu, Pengerusi Persatuan Pekerja Malaysia-Singapura (PEMAS) Negeri Johor, S. Dayalan membuat laporan polis berkenaan penipuan tersebut.

“Tiket yang dijual itu juga hampir kelihatan sahih, menyebabkan ramai yang percaya dan membuat tempahan melalui pihak ketiga itu,” jelasnya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini.

Menurut Dayalan, pihak Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) memaklumkan hanya seramai 150 hingga 200 pengembara daripada Singapura yang memasuki negara sehari.

Sedangkan 800 tiket daripada kuota tersebut dikatakan telah habis terjual setiap hari.

“Sebab itu kita buat laporan hari ini. Jika scammer itu warga negara Singapura, pihak PDRM diharap dapt melakukan sesuatu kerana hal ini sudah tidak terkawal lagi,” katanya.

Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat serta udara antara Malaysia dan Singapura dibuka semula 21 Januari lepas dengan kuota tiket yang dijual dikurangkan kepada 50 peratus atau separuh daripada kapasiti bas serta pesawat yang digunakan.

Namun pada 16 Februari, kerajaan membenarkan penjualan tiket bas dan penerbangan dibuka sepenuhnya berdasarkan penilaian risiko semasa serta persetujuan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).- MalaysiaGazette