PASIR MAS – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 7,651 ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di Kelantan dan Terengganu pada gelombang kali ini akan disalurkan segera.

Beliau berkata berdasarkan rekod seramai 2,995 ketua isi rumah di Kelantan manakala 4,656 ketua isi rumah di Terengganu terjejas dan telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir kali ini.

“Kita jangka bayaran RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah akan dibayar secepat mungkin, kalau boleh sebelum mereka pulang ke rumah,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat keadaan banjir di Jajahan Pasir Mas dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Gelang Mas, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata setakat pukul 8 pagi tadi, di Kelantan jumlah mangsa banjir yang berpindah ke PPS adalah seramai 9,056 orang membabitkan 2,995 keluarga, manakala di Terengganu seramai 17,641 mangsa membabitkan 4,656 keluarga.

“Selain BWI, kerajaan akan turut menyalurkan bantuan RM2,500 untuk membeli barangan keperluan asas dalam rumah. Bagi kerosakan peralatan elektrik kita beri baucar atau rebat RM500 untuk pembelian manakala untuk pembaikan kerosakan kenderaan kita sediakan baucer RM1,000.

Untuk kenderaan yang perlu dibaiki, syarikat seperti Perodua akan beri diskaun 50 peratus dan bayaran tunda serta upah adalah percuma ini untuk membantu mangsa banjir,” katanya.

Ismail Sabri berkata selain itu, bagi bantuan kerosakan rumah terdapat tiga kategori kerosakan yang akan menerima bantuan.

“Kategori pertama kerosakan kurang RM5,000 seperti mungkin rosak pintu, cermin pecah mereka boleh membuat tuntutan tunai untuk kerja-kerja pembaikan. Bagi kerosakan antara RM5,000 hingga RM15,000 mereka perlu laporkan kepada pihak pejabat daerah dan pembaikan kerosakan akan dilaksanakan oleh  Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Bagi kes seperti rumah hanyut atau musnah sepenuhnya, kerajaan akan bina rumah baharu kepada mangsa banjir dan pembinaan akan turut dilaksanakan oleh KPLB, mangsa banjir perlu buat laporan kepada pejabat daerah serta pemimpin masyarakat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan memberi sumbangan RM10,000 kepada keluarga mangsa korban banjir kali ini termasuk empat di Kelantan.

— BERNAMA