Calon bebas PRN Johor DUN Endau Ismail Don turun sendiri memasang bendera lambang traktor semasa berkempen di Kampung Tenglu, Mersing hari ini. Gambar MalaysiaGazette

MERSING – “Saya tidak perlu tulis macam-macam janji retorik dengan ayat berjala panjang kepada pengundi, manifesto janji bulan dan bintang hanya buang masa, saya tahu apa rakyat Endau nak.

”Jika kamu ada di sisi penduduk untuk membantu ketika susah dan memerlukan ia memadai”.

Itu pegangan ‘Mail Lambong’ atau nama sebenarnya Ismail Don, 56, yang bertanding atas tiket bebas di DUN Endau dalam Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) kali ini.

Kata Mail Lambong yang lahir, membesar dan sudah berumahtangga di kampung asalnya itu, dia menerima sambutan luar biasa daripada rakan kenalan serta penduduk kampung tersebut.

Menurutnya, dia membuat keputusan untuk bertanding kerana ‘sakit mata’ melihat kawasan tersebut ketinggalan dari sudut pembangunan ekonomi dan sosial.

“Kalau nak bicara sini masalah utama jambatan di Batu 10 perlu dibesarkan dan dinaiktaraf kerana sentiasa sesak dan menyusahkan pengguna.

“Manakala beberapa perkampungan nelayan di Mersing sini memerlukan pembinaan jeti baharu iaitu di kampung Luka Juling, Sungai Mengkuang dan Triang untuk merancakkan tangkapan hasil laut mereka dan inilah dua isu utama yang saya akan bawa berkempen.

Calon bebas PRN Johor DUN Endau Ismail Don turun sendiri memasang bendera lambang traktor semasa berkempen di Kampung Tenglu, Mersing hari ini. Gambar MalaysiaGazette

“Mungkin parti-parti gergasi dan berpengalaman lama dalam kancah politik beranggapan saya merepek tetapi saya tak peduli gelak ketawa mereka kerana sebagai anak Endau yang lahir dan berkeluarga di sini saya tahu apa keperitan sebenar yang sedang dihadapi dan perubahan yang diharapkan penduduk saya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Katanya, Mersing kelihatan seperti pekan koboi dan sebagai anak jati dia merasakan perlu melakukan sesuatu segera untuk mengubah landskap yang mencacatkan mata itu.

Katanya, jika dia diberi mandat oleh pengundi kelak perkara pertamanya adalah akan turun pada hari keputusan itu juga untuk bertemu pengundinya.

Ismail berkaitan, dia akan memanggil tokey Cina yang berniaga di Johor Bahru ke Endau untuk melabur dalam perindustrian bagi merancakkan peluang pembangunan dan pekerjaan untuk anak muda di sini.

“Inilah langkah pertama yang saya akan ambil sejurus selepas menang dan ini bukan cakap kosong seperti pemimpin lain yang menipu pengundi selama berpuluh tahun di Mersing, saya ikhlas dengan rancangan ini,” ujarnya yang menggunakan lambang traktor.

Katanya, dia memilih lambang traktor sebagai simbol pertanian dan jentera kebal menangkis segala halangan yang mendatang manakala bendera warna putih itu simbol calon suci dan bersih yang sedia berkhidmat untuk penduduk tempatan.

Calon bebas PRN Johor DUN Endau Ismail Don turun sendiri memasang bendera lambang traktor yang ditandinginya semasa berkempen di Kampung Tenglu, Mersing hari ini. Gambar MalaysiaGazette

“Saya gembira dengan sambutan penerimaan penduduk tempatan terhadap saya dan saya sasarkan sekurang-kurangnya 25 hingga 30 peratus undi untuk cipta sejarah sebagai calon bebas pertama kali diangkat sebagai wakil rakyat di Endau kali ini.

“Untuk itu saya akan turun berkempen dengan traktor bermula selepas undi awal 8 Mac nanti kerana wajah saya sebagai calon senang disemai dalam hati pengundi tempatan,” katanya.. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast