JOHOR BAHRU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Azizul Bachok mahu menjadi wakil rakyat yang mudah didekati dan mesra penduduk sekiranya beliau memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Azizul berkata, sebelum ini ramai penduduk Tiram menyatakan kesukaran untuk berjumpa wakil rakyat bagi mengadu masalah mereka.

“Saya bersimpati nasib ramai penduduk di Tiram tidak terbela ekoran sukar dapat bertemu dengan wakil rakyat terdahulu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menyentuh tentang kempen, beliau memberitahu, jentera parti banyak program walkabout kerana ia lebih mudah untuk berjumpa pengundi secara bersemuka, khususnya golongan remaja yang pertama kali mengundi.

“Alhamdulillah penerimaan pengundi muda juga sangat baik. Kami mengambil peluang mendekati seramai mungkin daripada golongan ini,” ujarnya.

Ketika diminta mengulas mengenai risiko pecahan undi di Tiram, Azizul tidak risau mengenai perkara tersebut memandangkan tujuh calon bertanding di kawasan itu.

Kerusi Tiram disandang oleh S. Gopalakrishnan daripada Pakatan Harapan (PH) mempunyai kira-kira 105,000 pengundi dan ia  merupakan satu daripada dua kerusi DUN yang menyaksikan pertembungan tujuh penjuru selain Kempas.

Pada 12 Mac ini Azizul akan dicabar Gopalakrishnan, Dr. Karim Deraman (PN), Datuk Abdul Aziz HArun (Pejuang), Mohd Azmi Ali (PBM) selain dua calon Bebas iaitu P. Bala Sundaram dan J. Jayasangkar bagi memiliki kerusi DUN Tiram.

Jelas Azizul, kini apa yang penting beliau dan dan jentera parti akan melakukan kempen sehabis mungkin untuk meyakinkan pengundi supaya memberi mandat kepada calon BN itu.

Terdahulu Azizul melawat Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang terletak di Hotel Grand Paragon, di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast