Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Tempoh akhir untuk orang ramai mendapatkan dos penggalak sehingga 31 Mac ini tidak ada kaitan langsung dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pada asalnya tarikh akhir yang ditetapkan untuk mendapatkan dos penggalak adalah pada 28 Februari lalu dan ia dilanjutkan bagi memberi peluang kepada mereka untuk menerima dos tersebut.

“Tempoh yang kita beri ini bukan berkaitan PRN Johor, tapi lebih kepada kita beri masa sedikit untuk mereka lengkapkan booster kerana ada yang minta lanjutkan masa.

“Jadi, lanjutan masa ini adalah yang terakhir dan muktamad dan pada akhir bulan ini sekiranya mereka tidak mendapat dos penggalak, maka status vaksinasi mereka adalah tidak lengkap,” katanya di Parlimen, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Dzulkefley Ahmad (PKR-Kuala Selangor), hari ini.

Menurut beliau, bagi memastikan semua yang berumur 50 tahun ke atas mendapat booster, KKM memperluaskan program vaksinasi secara walk-in di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk mereka mendapatkan vaksin penggalak.

Katanya, kelonggaran juga diberikan kepada mereka yang sebelum ini menolak daripada menerima vaksin penggalak terutama di kalangan penerima vaksin campuran.

“Di beberapa PPV, kita bagi pilihan Pfizer, AstraZeneca, Sinovac dan sebagainya. Ini akan membantu menaikkan sedikit liputan vaksinasi di kalangan mereka yang sebelum ini tidak mahu ambil booster,” katanya.

Menjawab soalan asal, Khairy berkata, kes pertama varian Omicron telah dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) oleh Afrika Selatan pada 24 November 2021.

Varian itu, katanya, mempunyai 32 mitasi dengan keupayaan jangkitan 2.7 hingga 3.7 kali ganda lebih tinggi berbanding varian Delta.

Kes pertama di Malaysia, kata beliau, telah dilaporkan pada 3 Disember lalu melibatkan pelajar dari Afrika Selatan.

“Sejak itu, varian Omicron mula merebak di kalangan komuniti berbanding varian Delta.

“Manakala, kes varian Omicron pada Disember adalah dari pintu masuk antarabangsa sahaja, namun situasi itu berubah pada Januari lalu apabila kes penularan tempatan varian berkenaan mula dlaporkan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, trend peningkatan kes Covid-19 yang baharu melebih10,000 kes sehari disebabkan oleh varian Omicron dicatatkan bermula pada 6 Februari lalu, diikuti 24 Februari sejumlah 32,070 kes positif baharu telah dicatatkan, menjadikan sebagai kes harian tertinggi sejak pandemik Covid-19.

“Walaupun peningkatan mendadak ini direkodkan, lebih 99 peratus kes harian dicatatkan pada kategori 1 dan 2 sahaja.

“Walaupun terdapat trend peningkatan dalam kemasukan ke hospital ketika gelombang Omicron, kadar discaj dari hospital juga naik dengan mendadak memandangkan kadar sembuh yang tinggi dan tempoh rawatan di hospital yang tidak berpanjangan.

“Berbanding dengan varian Delta, didapati varian Omicron lebih suka menjangkiti dan membiak pada bahagian atas saluran pernafasan dan sifat ini memberikan nilai tambah kepada keupayaannya untuk menjangkiti secara mudah serta pantas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast