KUALA LUMPUR – Para pelajar Malaysia yang terjejas teruk akibat banjir di Queensland, Australia sejak beberapa hari lepas, berada dalam keadaan selamat dan telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelajar terbabit dipindahkan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan, pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia berstatus penduduk tetap (PR) yang tinggal di Queensland.
Katanya, urusan perpindahan dan kebajikan pelajar terbabit dilaksanakan dengan koordinasi bersama agensi-agensi lain termasuk Pejabat MARA Australia, Pejabat Pendidikan dan Latihan New Zealand, Pejabat Malawakil Canberra, wakil penaja iaitu Petronas dan Kementerian Pendidikan Malaysia serta Persatuan Pelajar Malaysia-MASCA National dan MASCA Queensland.
“Ia juga bagi memudahkan pemantauan dan koordinasi oleh pihak berkuasa serta Pejabat Malawakil Canberra,” demikian menurut kenyataan itu di sini, hari ini.
KPT sentiasa berhubung dengan pihak EMA dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi semasa dan tindakan lanjut yang perlu diambil.
— BERNAMA