Baharin Din

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan ada kakitangannya menerima sogokan daripada sindiket mencuri elektrik untuk melombong bitcoin.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din menegaskan, kekeliruan telah berlaku dalam laporan media berhubung operasi TNB bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Akibatnya, kekeliruan itu semakin tular di media sosial.

”Tiada warga kerja TNB yang ditahan kerana disahkan tiada warga kerja TNB yang menerima habuan dari anggota sindiket.

”Berlaku kekeliruan yang mungkin disebabkan salah faham dan kesilapan laporan sebahagian media mengenai kononnya warga kerja TNB menerima sogokan dari sindiket mencuri elektrik untuk melombong bitcoin.

”Hakikatnya, kaedah operasi sulit (covert) TNB bersama SPRM ini memerlukan intipan secara penyamaran (undercover) dibuat untuk memerangkap dan mendedahkan kegiatan sindiket ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Baharin Pengurusan TNB amat berterima kasih kepada SPRM dan warga kerja TNB yang terlibat dalam operasi ini yang mengambil masa lebih dua tahun sehingga tindakan undang-undang dapat diambil terhadap mereka yang terlibat.

Inisiatif bersama ini telah pun membuahkan hasil dengan tertangkapnya 18 individu melibatkan 7,209 kes sejak 2018.

Operasi sulit itu juga telah membolehkan SPRM membekukan 126 akaun bank bernilai RM4.47 juta membabitkan 97 individu serta 29 syarikat.

Daripada 18 dalang sindiket yang ditangkap, salah seorang mempunyai 500 unit rumah kedai yang disewa untuk aktiviti perlombongan bitcoin secara haram.

”Pengurusan TNB juga berbangga dengan integriti tinggi warga kerja TNB yang memaklumkan kepada pengurusan mengenai pelbagai cubaan anggota sindiket untuk menyogok pasukan mencegah kecurian elektrik TNB. Perkongsian tersebut membawa kepada operasi bersama SPRM.

”SPRM memerlukan masa untuk membina kes yang kukuh bagi mengesan dan memerangkap dalang dan ketua sindiket, bukan sekadar operator atau pekerjanya. Kejayaan operasi bersama SPRM dan TNB itulah yang diumumkan dalam media semalam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette