JOHOR BAHRU – Calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Nornekman Osman tekad memperjuangkan hak untuk rakyat di kawasan berkenaan memiliki rumah kediaman sendiri.
Anak bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian berkata, hasratnya adalah untuk menyediakan sehingga 5,000 unit kediaman rumah jenis mampu milik.
Katanya, perkara itu adalah fokus utama sekiranya diberi mandat oleh pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
“Saya sasarkan sekurang-kurangnya 5,000 unit rumah mampu milik perlu dibina bagi menampung keperluan golongan yang memerlukan di kawasan ini.
“Ini adalah kerana berdasarkan maklum balas diterima daripada penduduk setempat, perumahan mampu milik adalah perkara utama yang dikehendaki mereka,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sedang melakukan walkabout bertemu penduduk sekitar Kempas,” katanya.
Tambahnya, perkembangan pesat sedang dijalankan di kawasan Kempas namun jika hak perumahan bagi golongan B40 dan M40 dinafikan, akan wujud ketidakseimbangan dalam kalangan penduduk di kawasan berkenaan.
“Rumah mampu milik sedia ada tidak mencukupi di kawasan ini, jadi hasrat saya serta Pejuang adalah untuk menyediakan kemudahan itu buat golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Sementara itu, Nornekman turut nyatakan komitmen pihaknya untuk membela nasib golongan memerlukan termasuklah ibu tunggal bagi meningkatkan tahap ekonomi mereka dan keluarga.
Jelas beliau, banyak perancangan telah disediakan termasuklah untuk menyediakan pusat komuniti di kawasan perumahan seperti di bawah blok rumah pangsa sedia ada
“Kita boleh sediakan ruangan untuk sektor perindustrian kecil dan sederhana menjalankan operasi, sama ada untuk berniaga atau proses pembungkusan, ini akan menjadi peluang buat mereka tambah pendapatan,” ujarnya.- MalaysiaGaze
















