MATLAMAT Pembangunan Mampan (SDGs) diterima pakai oleh 193 negara sempena dengan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 25 September 2015 di New York, Amerika Syarikat. SDGs yang terdiri daripada 17 matlamat yang diperhalusi dengan 169 sasaran dan lebih daripada 240 indikator menjadi hala tuju dan garis panduan pembangunan global yang mampan dan seimbang bagi tempoh 15 tahun dari 2015 hingga 2030. Matlamat tersebut disasarkan akan tercapai menjelang tahun 2030.

Idea pembangunan mampan tercetus pada pertengahan kurun ke-19 berhubung kait dengan revolusi perindustrian di negara-negara Barat yang menyedari akan impak aktiviti ekonomi dan perindustrian terhadap keseimbangan sosial dan alam sekitar. Beberapa siri krisis kewangan dan ekologi telah berlaku di dunia pada kurun ke-20. Contohnya, krisis perbankan Amerika Syarikat pada 1907, krisis ekonomi Great Depression pada 1930an, Kejutan Harga Minyak OPEC 1973, Tragedi Gas Bhopal pada 1984 dan Tragedi Nuklear Chernobyl pada 1986. Tragedi dan krisis ini telah menimbulkan kesedaran akan keperluan untuk mewujudkan suatu model pembangunan yang lebih mampan.

Definisi pembangunan mampan yang rasmi telah dibangunkan julung kalinya pada 1987 di dalam Laporan Brundtland iaitu pembangunan masyarakat yang memenuhi keperluan mereka tanpa mengkompromikan kemampuan generasi masa depan untuk memenuhi keperluan mereka. Selaras dengan konsep ini, SDGs dibangunkan berdasarkan keseimbangan lima dimensi yang digelar 5P iaitu, Manusia (People), Planet (Planet), Kemakmuran (Prosperity), Keamanan (Peace) dan Perkongsian (Partnership) yang diterjemahkan kepada 17 matlamat dan diperincikan kepada ratusan sasaran dan indikator.

SDGs merupakan lanjutan dan penambahbaikan kepada Matlamat Pembangunan Alaf (MDGs) yang terdiri daripada 8 matlamat, 18 sasaran dan 48 indikator. MDGs yang dilaksanakan dari tahun 2000 hingga 2015 lebih memfokuskan kepada pembasmian kemiskinan tegar, kebuluran, pencegahan penyakit berbahaya dan peluang pendidikan untuk kanak-kanak. Walau bagaimanapun, keberkesanan MDGs adalah terhad akibat daripada kekurangan analisis dan justifikasi serta kelemahan pengukuran dan kemajuan yang tidak sekata. Lantaran itu, SDGs diperkenalkan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut dengan merangkumkan dimensi 5P dan perincian implementasi pelaksanaan yang melibatkan perkongsian matlamat semua pihak termasuk, kerajaan, korporat dan masyarakat sivil. Pendekatan “tiada sesiapa yang tertinggal” ditekan.

Di Malaysia, pelaksanaan SDGs telah diintegrasikan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11). Majlis SDGs Kebangsaan yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri telah ditubuhkan pada tahun 2016 untuk menentukan hala tuju pelaksanaan SDGs yang selaras dengan agenda nasional untuk dilaporkan kepada Forum Politik Peringkat Tinggi (HLPF) PBB. Untuk perangkaan peta perbatuan SDGs, pemantauan pelaksanaan dan pengenalpastian isu-isu, Jawatankuasa Pemandu SDGs Kebangsaan juga telah ditubuhkan. Jawatankuasa tersebut diketuai oleh Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi dan dianggotai oleh wakil-wakil kementerian, agensi kerajaan, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat sivil. Bagi tujuan pelaksanaan program dan pengenalpastian indikator, 5 jawatankuasa kerja telah diwujudkan mengikut kluster selaras dengan teras, bidang fokus dan strategi RMK11. Lanjutan kepada RMK11, SDGs turut ditekankan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021 – 2025 yang berteraskan pendekatan keseluruhan negara untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang tercicir atau terpinggir dalam arus pembangunan.

Di peringkat masyarakat sivil, Perikatan Organisasi Masyarakat Sivil untuk SDGs (CSO-SDG Alliance) telah diasaskan bersama oleh Prof. Datuk Denison Jayasooria dan Dr. Hezri Adnan pada tahun 2016 bertujuan memupuk kerjasama dan sinergi kekuatan masyarakat sivil dalam pelaksanaan SDGs di peringkat masyarakat sivil dan akar umbi. Perikatan tersebut dianggotai oleh puluhan pertubuhan masyarakat sivil dan institusi penyelidikan untuk perkongsian sumber, kepakaran dan kerjasama strategik di antara pertubuhan.

Pada tahun 2020, Kumpulan Parlimen Rentas Parti bagi SDG (APPGM-SDG) telah ditubuhkan oleh Parlimen Malaysia yang terdiri daripada 10 ahli Parlimen yang terpilih. Projek perintis tersebut bertujuan untuk pelaksanaan SDG di kawasan setempat bagi penyelesaian masalah-masalah yang terdesak di kawasan Parlimen yang terpilih. Bilangan kawasan Parlimen yang terpilih dijangka bertambah kepada 55 pada tahun 2022. CSO-SDG Alliance telah dilantik oleh Speaker Parlimen sebagai Sekretariat APPGM-SDG dan diketuai oleh Prof. Datuk Dr. Denison Jayasooria sebagai Ketua Sekretariat.

Sebagai badan induk pertubuhan-pertubuhan belia di peringkat kebangsaan, Majlis Belia Malaysia (MBM) tidak ketinggalan dalam arus perkembangan SDG. Susulan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) ke-65 pada 17 hingga 19 Februari 2016, Jawatankuasa Khas Pembangunan Lestari telah ditubuhkan dan diselaraskan oleh Sdr. Thai Ming Yeow khususnya untuk pengendalian urusan-urusan yang berkaitan dengan SDGs bagi sesi 2016 – 2018. Susulan MPAT ke-67 pada 4 hingga 6 Oktober 2018, portfolio tersebut telah diletakkan di bawah Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Antarabangsa & SDG yang diketuai oleh Sdr. Jufitri Joha, Presiden MBM.

Penglibatan MBM dalam SDGs secara umumnya merangkumi pelbagai aspek yang merangkumi kesemua 5 dimensi termasuk pembangunan kapasiti, kerja komuniti, advokasi dasar, konsultasi, kempen kesedaran, pendidikan awam, pembinaan jaringan dan sebagainya. Hampir semua projek atau program yang dijalankan menyumbang kepada pelaksanaan SDGs. Walau bagaimanapun, bukan semua program dirancang dengan merujuk kepada SDGs.

Antara projek atau program yang khusus yang berkaitan dengan SDGs adalah Sidang Meja Bulat Youth Ideas – Engaging Malaysian Youth Community for SDG Project Implementation pada 17 Mac 2016, Literasi dan Bengkel Pemetaan SDG pada 25 Oktober 2016, Projek Local Agenda 21 Kawasan Keramat pada tahun 2018, Sesi Selari sempena Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2019 pada 6 November 2019, Program SDG MBM-Eko Pelancongan Majlis Belia Orang Asli pada Ogos hingga Oktober 2020 dan rakan strategik Persidangan Kemuncak SDG Belia Malaysia pada 6 November 2021. Berikutan penganjuran Persidangan Kemuncak SDG Belia Malaysia ini, MBM sedang membidani penubuhan Kelab Belia SDG (SDG Youth Club) bagi menghakupayakan (empower) belia meneruskan aksi dalam bentuk pergerakan Ngo belia bagi merealisasikan agenda SDG. MBM juga sangat-sangat mendokong pelbagai usaha praktikal dan inisiatif strategik yang diusahakan oleh rakan strategik MBM iaitu International Youth Centre (IYC) di bawah kepimpinan Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee. Ini termasuk projek Sekolah SDG dan Projek Bekalan Air di pedalaman Sarawak.

Dari segi penglibatan luar, MBM merupakan salah satu daripada lima organisasi masyarakat yang merupakan ahli kepada Jawatankuasa Pemandu SDG Kebangsaan di bawah Unit Perancang Ekonomi. Presiden MBM, Sdr. Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin (2016 – 2018) dan Sdr. Jufitri Joha (2018 – 2022) dilantik sebagai ahli tetap di dalam Jawatankuasa Pemandu, manakala Sdr. Thai Ming Yeow dilantik sebagai ahli ganti. MBM merupakan salah satu ahli yang terawal di dalam CSO-SDG Alliance sejak tahun 2016 dan seterusnya menjadi rakan strategik Sekretariat APPGM-SDG pada 2020. Pada tahun 2022, MBM menjadi salah satu daripada pembekal penyelesaian (solution provider) kepada APPGM-SDG bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan pembangunan belia dan CSO. Selain itu, MBM turut terlibat sebagai pemegang taruh kepada Regional Center of Expertise – Greater Kuala Lumpur (RCE-GKL) yang didaftarkan di bawah United Nation University – Institute for Advanced Studiy of Sustainability, Universiti UCSI yang ditubuhkan pada Ogos 2021 dan berfokus kepada SDG 4, 13 dan 16. Sdr. Thai Ming Yeow telah dipilih sebagai Naib Pengerusi RCE tersebut.

Badan-badan gabungan MBM juga terlibat dalam pelaksanaan SDGs. Salah satu badan gabungan yang sangat aktif dalam SDGs adalah Junior Chamber International Malaysia (JCIM) yang menjadikan SDGs sebagai prinsip utama dalam perancangan program. Antara program yang terkemuka adalah Anugerah Pembangunan Mampan (JCIM Sustainable Development Awards) yang dianjurkan setiap tahun sejak tahun 2018. Wakil MBM telah diberi peluang sebagai ahli panel pengadil bagi sesi 2021.

Cabaran yang paling besar bagi MBM dalam mengarusperdanakan SDGs adalah kekurangan minat kepimpinan MBM dan badan-badan gabungan untuk memahami secara mendalam tentang matlamat dan sasaran SDGs kerana ianya merupakan suatu kerangka kerja yang besar dan luas untuk difahami dan dikuasai walaupun sebahagian besar daripada program-program yang dilaksanakan adalah berkaitan dan menyumbang kepada SDGs. Selain itu, kekangan sumber kewangan dan pengkhususan bidang fokus mengikut jawatan kuasa juga merupakan faktor rintangan yang signifikan. Situasi politik semasa dan ancaman pandemik COVID-19 juga menyumbang kepada cabaran ini. Walau bagaimanapun, sebagai organisasi induk pertubuhan belia di peringkat kebangsaan, cabaran tersebut harus di atasi melalui penyelarasan di peringkat pengurusan, pendidikan kepimpinan yang berterusan, kerjasama di antara biro, sinergi kepakaran, pendekatan inovatif dan perkongsian sumber.

MBM dan badan-badan gabungan harus terus memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan SDGs di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat akar umbi memandangkan ianya bukan sahaja semata-matanya agenda antarabangsa tetapi juga hala tuju perancangan pembangunan negara bagi dekad yang akan datang agar anak muda dapat dimanfaatkan dengan pembangunan yang mampan dan seimbang dengan sebaik-baiknya. Ini juga terkait dengan cabaran masa depan yang sangat tidak dapat dijangka dan sangat ekstrem yang terpaksa dihadapi generasi muda yang memerlukan intervensi dan solusi tuntas melalui agenda SDG. Masa depan generasi muda dan generasi masa depan ditentukan oleh kebijaksanaan dan tindakan kita pada saat ini.

Oleh: Jufitri Joha
Presiden Majlis Belia Malaysia &

Thai Ming Yeow
Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia