Pelajar-pelajar melakukan aksi silat Laksamana Singa semasa menjalani sesi latihan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Parit Amal Darat, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2022.

MUAR – Silat Laksamana Singa mungkin terlalu muda dari segi usia kerana belum pun sampai sedekad dalam dunia persilatan Melayu.

Namun, silibus silat yang diasaskan oleh Idris Mohamed di Parit Amal Darat di sini sebenarnya mempunyai keistimewaan tersendiri jika dibandingkan dengan silat lain.

Menurut Idris, silat Laksamana Singa mula bertapak pada tahun 2015 sejurus beliau pulang ke kampung halaman setelah sekian lama menimba pengalaman mempelajari pelbagai jenis silat termasuk muay thai.

Temubual bersama Pengasas Silat Laksamana Singa, Idris Mohamed di Parit Amal Darat, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2022.

“Saya asaskan silat ini berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang pesilat kerana sebelum ini saya merupakan bekas Presiden Muay Thai bagi daerah Petaling, kemudian saya pulang ke kampung pada 2015 dan saya asaskan seni silat Laksamana Singa.

“Saya juga pernah mempelajari ilmu Silat Harimau, Silat Sendeng, Silat Pulut, tari silat Melayu serta kuntao. Seterusnya dari pengalaman itu saya asaskan seni silat ini atas semua gabungan dan akhirnya menjadi satu silibus persilatan yang efektif,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Parit Amal Dalam di sini baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, Idris berkata, silat Laksamana Singa yang diasaskan olehnya itu juga berpeluang menyertai semua jenis sukan silat termasuk olahraga dan seni bela diri campuran (MMA).

Jelas Idris yang merupakan seorang kontraktor itu, selain daerah Muar, silat Laksamana Singa turut mempunyai beberapa cawangan meliputi Melaka, Shah Alam dan Puchong di Selangor serta di Selama, Perak.

Pelajar-pelajar melakukan aksi silat Laksamana Singa semasa menjalani sesi latihan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Parit Amal Darat, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2022.

“Ilmu persilatan ini masih lagi memerlukan promosi untuk kami bergerak dan pengambilan ahli.

“Misi kami adalah menyahut seruan memelihara seni warisan pusaka Melayu disamping memupuk semangat jati diri seorang remaja dan membangkitkan disiplin anak-anak muda daripada terjebak dengan gejala sosial,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Idris berkata, bermula 2015 sehingga kini, lebih 200 pelajar telah pun dilatih dengan peserta termuda berusia lapan tahun.

Katanya lagi, silat Laksamana Singa juga turut menerima sambutan yang menggalakkan daripada penduduk di sekitar daerah ini berikutan terdapatnya elemen tari silat Melayu.

“Apa yang kita tekankan di sini adalah tari silat Melayu, jadi kita buat beberapa pembaharuan sebab sebelum ini jenis-jenis silat di daerah Muar lebih kepada pembelajaran buah pukul, combat serta pukulan namun tiada seni dalam tari.

“Konsepnya mudah sahaja iaitu gabungan antara seni warisan Melayu dan seni mempertahankan diri. Seni itu warisan dan dalam seni itu ada maksud yang tersirat seperti yang diamalkan oleh orang Melayu zaman dahulu.

“Dalam silat Laksamana Singa ini juga kita ajar cara-cara mempertahankan diri supaya mereka tidak cemas apabila diserang secara tiba-tiba,” katanya yang turut dibantu oleh isterinya, Suhana Abdul Hamid.

Tambahnya lagi, cawangan silat Laksamana Singa di negeri lain ketika ini diselia oleh 20 jurulatih yang terlebih dahulu telah menghadiri kursus kejurulatihan dibawahnya.

Kata Idris, bagi seorang pelajar, mereka memerlukan di antara enam hingga 12 bulan untuk menghabiskan kesemua silibus persilatan itu.

“Ini adalah minat dan jalan pengorbanan saya, kita cuma kenakan yuran RM15 sebulan bagi dewasa dan kanak-kanak itu pun untuk menampung kos elektrik sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette