Gambar arkib

KUALA LUMPUR – AirAsia Malaysia akan mengenakan semula surcaj bahan api mulai 8 Mac 2022 untuk semua penerbangan domestik dan antarabangsanya.

Surcaj ini dikenakan susulan lonjakan harga bahan api yang terus meningkat disebabkan oleh keadaan di Eropah Timur serta faktor luaran lain, kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

Semua laluan domestik dikenakan surcaj RM10, laluan antarabangsa 1-2 jam (RM25), laluan antarabangsa 2-3 jam (RM35), laluan antarabangsa 3-4 jam (RM50) dan laluan antarabangsa melebihi 4 jam (RM60).

Pengenalan semula surcaj bahan api oleh AirAsia adalah untuk mengimbangi kenaikan harga bahan api yang telah melangkaui AS$120 setong sekarang.

Menurut syarikat penerbangan itu, AirAsia tidak mengenakan sebarang surcaj bahan api sejak memansuhkannya pada 2015.

Sebaliknya, syarikat telah menyerap semua kenaikan kos bahan api ini sedangkan syarikat-syarikat penerbangan lain telah pun melaraskan tambang dan meningkatkan caj bahan api dan caj pentadbiran untuk mengatasi kenaikan kos operasi seawal tahun 2018 lagi.

”Surcaj bahan api ini akan dikenakan untuk semua tempahan penerbangan baharu yang dibuat pada dan selepas 8 Mac 2022.

”Semua tempahan yang dibuat sebelum 8 Mac 2022 tidak akan terjejas,” kata AirAsia. – MalaysiaGazette