KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan tidak menyangka pasukannya mampu membawa pulang tiga mata penuh selepas menewaskan Sabah FC, 1-0 pada aksi sengit di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam tadi.
Tegasnya, pulang ke Paroi dengan satu mata juga dianggap kepuasan buat dirinya dan pemain namun sebaliknya tiga mata yang dianggap bernasib baik.
“Kemenangan ini kita tidak sangka, rasa puas hati jika bawa pulang satu mata kerana Sabah mempunyai banyak peluang jaringkan gol. Namun kecemerlangan penjaga gawang Ahmad Syihan Hazmi Mohamed membolehkan pasukan mendapatkan tiga mata.
“Pujian juga kepada pemain saya yang bertahan dengan baik sepanjang 90 minit, kesungguhan dan komitmen serta kerja keras untuk memastikan kemenangan ini yang saya anggap hari ini kita bernasib baik bawa pulang tiga mata,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Kota Kinabalu malam tadi.
Ketangkasan Ahmad Syihan pada perlawanan tersebut terbukti apabila dia mengagalkan beberapa percubaan merbahaya dari pemain tuan rumah termasuklah menyelamatkan sepakan penalti pemain import Sabah FC, Neto Pesoa dipenghujung babak pertama.
Gol tunggal kemenangan dijaringkan Khair Jones pada minit ke-51 yang menerima hantaran rakan susulan sepakan percuma di depan gawang tuan rumah. – MalaysiaGazette