PUTRAJAYA – Malaysia dan Indonesia dijangka dapat menandatangani memorandum mengenai penggajian dan perlindungan pembantu rumah pada akhir Mac.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pengambilan pembantu rumah dari negara jiran itu juga akan menggunakan satu sistem yang baharu.
Jelasnya, pembantu rumah sebelum ini memasuki Malaysia sebagai pelancong sebelum memohon permit kerja sementara dan bekerja di negara ini.
Katanya, keadaan itu menyebabkan Jakarta tidak mempunyai rekod mengenai kedudukan dan status pekerjaan rakyatnya.
“Oleh itu, Jakarta mencadangkan cara ini diubah supaya satu saluran yang standard digunakan untuk mengambil pembantu rumah.
“Dengan itu, kerajaan Indonedia dapat menguasai maklumat pekerjaan rakyatnya dan menjejak siapa majikan dan sama ada pembantu rumah dibayar gaji,” katanya kepada Sinchew Daily.
Menurut Saravanan, sebelum saluran itu diperkenalkan, majikan boleh mengambil pembantu rumah melalui agensi pekerjaan.
Ditanya syarikat milik kerajaaan (GLC) mana yang akan mengendalikan pengambilan pembantu rumah selepas ini, Saravanan berkata, perkara itu akan diumumkan selepas memorandum ditandatangani.
Katanya, Putrajaya sedang menunggu maklum balas Jakarta untuk menetapkan tarikh memorandum ditandatangani, tetapi dokumen itu dijangka dapat dimeterai pada akhir bulan. – MalaysiaGazette