Seramai 18 kanak-kanak berusia empat hingga 11 tahun yang menyertai Program Berkhatan Beramai-ramai Anjuran Masjid Nur As- Sa’aadah, Kampung Pengkalan Batu, Melaka hari ini.

MELAKA – “Terima kasih kepada pihak masjid kerana bantu ibu bapa meringankan beban dalam waktu yang sukar ini, malah anak-anak pun seronok dan tidak gemuruh bila dapat sunat beramai-ramai.”

Itu kata guru tadika, Ili Syazwani Basirun, 31, yang menjadi antara ibu bapa kepada 18 kanak-kanak berusia empat hingga 11 tahun yang menyertai Program Berkhatan Beramai-ramai Anjuran Masjid Nur As- Sa’aadah, Kampung Pengkalan Batu, Melaka di sini hari ini.

Menurutnya, melalui program tersebut, dia dapat berjimat sehingga RM400 apabila menghantar dua anaknya, Muhammad Izz Adam Muhamad Syukri, 7 dan Muhammad Iman Rizqy, 6, memenuhi tuntutan Islam.

Ili Syazwani Basirun

“Kalau nak hantar sunat di klinik swasta, kos seorang sahaja antara RM150 hingga RM200 tapi di sini saya cuma bayar RM50 itu pun tiba-tiba pihak masjid beritahu tadi, tiada bayaran dikenakan.

“Sudahlah dapat sunat percuma, anak-anak pun seronok bila lihat ramai kawan-kawan sebaya dapat ‘masuk jawi’ bersama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program di masjid berkenaan di sini hari ini.

Bagi Muhammad Syafiq Abu Hassan, 35, yang turut menghantar dua anaknya, Danish Nawfal, 6, dan Dayyan Naim, 5, berkhatan,
program terbabit juga dapat menjadi wadah mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

Muhammad Syafiq

“Sebelum majlis berkhatan, pihak masjid menyediakan sarapan pagi yang menjadi peluang untuk penduduk saling bertanya khabar serta saling mengenali anak masing-masing lebih dekat yang sebelum ini terkurung kerana Covid-19.

“Aktiviti sebegini juga mengimbau semula nostalgia zaman dahulu yang sememangnya diadakan secara beramai-ramai apatah lagi setelah adanya klinik khatan secara moden seperti hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Nur As- Sa’aadah, Datuk Amzah Osman berkata, ia adalah program sulung khatan beramai-ramai diadakan bagi mengurangkan beban selain mendekati masyarakat setempat di luar daripada program kerohanian.

Amzah Osman

“Ini juga secara tidak langsung dapat menangkis stigma masyarakat yang hanya beranggapan masjid ini sebagai mengembangkan program program keagamaan semata-mata.

“Alhamdulillah, hari ini seramai 18 kanak-kanak telah mendapat manfaat program walaupun pada awalnya mendapat 22 penyertaan namun empat peserta terpaksa dikecualikan kerana menjalani kuarantin Covid-19,” katanya.

Tambahnya, pada program itu, kanak-kanak akan dikhatankan dengan bantuan dua doktor dan jururawat sebuah klinik swasta menggunakan teknik laser yang lebih mudah dah selamat.

“InsyaAllah, kita akan teruskan lagi program sebegini pada masa hadapan pada skala yang lebih besar dengan mematuhi semua prosedur operasi standard ditetapkan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.- MalaysiaGazette