Foto: KCNA/Kyodo

SEOUL – Korea Utara berkata negara itu telah melakukan satu lagi ‘ujian penting’ dalam pembangunan ‘satelit pengintip’.

“Semalam Pentadbiran Pembangunan Aeroangkasa Nasional DPRK dan Akademi Sains Pertahanan melaksanakan satu lagi ujian penting di bawah rancangan pembangunan satelit pengintip,” kata Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) dalam laporan berbahasa Inggeris seperti dipetik Yonhap.

DPRK merupakan singkatan nama rasmi Republik Demokratik Penduduk Korea Utara.

Menerusi ujian, tambahnya, NADA ‘mengesahkan kebolehpercayaan siaran data dan sistem penerimaan satelit, sistem kawalan arahan dan pelbagai sistem kawalan darat’.

Bagaimanapun ia tidak menyediakan maklumat tambahan dalam laporan dua perenggan itu.

Sehari sebelum itu, Korea Utara melancarkan peluru beropandu balistik menghala ke Laut Timur, dan ia merupakan pelancaran kesembilan dilakukan pada tahun ini, menurut tentera Korea Selatan.

Peluru berpandu yang dilancarkan di kawasan Sunan, Pyongyang itu terbang sejauh 270 kilometer (km) pada ketinggian 560 km, kata Ketua Staf Bersama.

Ujian tersebut mencetuskan kebimbangan Korea Utara mungkin melancarkan roket jarak jauh di bawah pelancaran roket angkasa, ketika negara itu melakukan ancaman pada Januari lalu untuk menggantung moratoriam yang dilakukannya sendiri ke atas ujian-ujian nuklear dan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).

Sebelum ini, Korea Utara mendakwa negara itu telah meletakkan satelit pada orbit yang mana ia merupakan sebahagian daripada program pembangunan angkasa yang aman, manakala Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya melihat ia sebagai sebahagian daripada usaha untuk menguasai teknologi ICBM.

Para pemerhati berkata, ujian peluru berpandu terbaharu Korea Utara, diikuti ujian yang sama pada minggu lalu, boleh memberi laluan kepada persediaan pelancaran roket jarak jauh ketika rundingan menghapuskan senjata nuklear dengan AS terhenti.

Pada 27 Februari lalu, Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik dan mengumumkan pada keesokan hari bahawa negara itu melakukan ‘ujian penting’ bagi mengesahkan ketepatan ‘sistem fotografi, sistem saluran data dan peralatan kawalan ketinggian’ untuk membangunkan satelit pengintip.

Pembangunan satelit pengintip merupakan antara projek pertahanan utama yang mana Korea Utara mendedahkannya semasa Kongres Parti Pekerja pada Januari lalu. – Agensi