Tuan Zurainah dan Ahmad di rumah mereka di Lintang 2, Kampung Separap, Batu Pahat

BATU PAHAT – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itulah yang dialami sebuah keluarga di Jalan Lintang 2, Kampung Separap, di sini, apabila terpaksa hidup dalam keadaan daif akibat terhimpit dengan kemiskinan.

Mereka tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah.

Keluarga itu tinggal di rumah usang peninggalan bapa mereka dan hanya mengharapkan simpati daripada orang ramai untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Ketika ditemui MalaysiaGazette, salah seorang daripada ahli keluarga itu, Tuan Zurainah Tuan Hussin, 40, berkata, kemiskinan hidup yang diharungi sememangnya memberi tekanan kepada mereka hingga kadang-kala ‘buntu’ untuk mencari penyelesaian dan jalan keluar daripada kesukaran yang dialami.

Meskipun tiga daripada ahli keluarga itu bekerja, namun, dengan pendapatan ketiga-tiga mereka sebagai pekerja kebun bunga yang kurang daripada RM1,000 sebulan, kesempurnan hidup tidak dapat dinikmati.

Berkongsi kisah kehidupan mereka sekeluarga Tuan Zurainah berkata, keadaan mereka semakin sukar selepas kerajaaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Katanya, mereka terpaksa bergantung hidup dengan bantuan bekalan makanan yang disediakan menerusi gerobok rezeki di surau berhampiran.

“Dah memang nasib kami ditakdirkan begini tapi kami juga tidak mahu berterusan seperti ini.

“Mujurlah ada bantuan daripada gerobok rezeki itu. Sekali sekala adalah juga kami menerima sumbangan seperti beras, gula, tepung dan lain-lain daripada orang yang bersimpati,” katanya.

Menurut Tuan Zurainah, dia ada memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat pada Disember tahun lepas, namun setakat ini belum ada sebarang makluman mengenainya.

Katanya, akibat kemiskinan itu juga, mereka pernah mengikat perut akibat tiada makanan dan paling menyedihkan apabila anak perempuannya berusia enam tahun menangis kerana kelaparan.

Jelas Tuan Zurainah lagi, di rumah pusaka itu mereka sekeluarga hanya menggunakan air tadahan hujan untuk kegunaan harian selepas bekalan air bersih yang disambung ke rumah mereka dipotong kerana tidak mampu untuk membayar bil air.

“Mujurlah, di rumah kami bekalan elektrik diberi secara percuma oleh pihak TNB (Tenaga Nasional Berhad) dan ini meringankan sedikit beban yang kami tanggung,” ujarnya.

Di rumah mereka juga katanya, tidak ada tandas mahupun bilik air dan jika hendak membuang air, mereka terpaksa pergi ke surau yang jaraknya lebih kurang 100 meter dari kediaman mereka.

Katanya lagi, mereka juga tidak pernah tidur selesa setiap malam kerana sering digigit nyamuk ekoran dinding rumah mereka yang berlubang-lubang kerana sudah terlalu usang.

Keadaan lebih sukar sekiranya hujan dan mereka akan kebasahan kerana bumbung rumah bocor.

Sementara itu, seorang lagi ahli keluarganya Ahmad Sarbani, 60, berkata, dia tidak tahu bagaimana untuk mengubah nasib mereka sekeluarga selepas bertahun lamanya hidup dalam keadaan sedemikian.

Katanya, dia hanya berserah pada tuhan yang telah mentakdirkan mereka hidup dalam keadaan seperti itu.

“Saya tak tahu nak buat macam mana lagi, dah memang ditakdirkan hidup kami susah, kami ni orang miskin,” katanya.

Justeru, mereka sekeluarga sangat berharap agar permohonan bantuan yang diminta dapat dipercepatkan bagi meringankan kesempitan hidup dialami.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Tuan Zurainah ditalian 017-2874772. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast