KUALA LUMPUR – Sudah lebih 60 tahun Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan rakyat terutama orang Melayu, Islam agar jangan membuat kesilapan dengan memangkah UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Tetapi, pada masa sama, Presiden Pas itu yang pendiriannya tidak pernah tetap, sering dilihat bersama dengan UMNO dan BN terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Perkara itu dinyatakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar ketika berbahas menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-14 2022.
Katanya, beliau membangkitkan perkara tersebut kerana pemimpin tertinggi Pas itu seorang yang di depan cakap lain, di belakang buat lain.
“Marang menyeru rakyat supaya jangan membuat kesilapan dengan memangkah UMNO dan BN ini sejak 60 tahun lalu lagi dia laung. Kesilapan ini yang sentiasa diulanginya.
“Tapi, dia lupa di waktu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, dia bersama-sama dengan UMNO dan BN menyeru supaya pengundi menyokong calon MCA. Kononnya, UMNO-BN ketika itu rakannya.
“Ayat dan bahasa seumpama itu digunakan Abdul Hadi mengikut keadaan. Kalau bersama UMNO, boleh sokong UMNO. Kalau tidak bersama UMNO, jangan sokong UMNO,” katanya.
Mahfuz turut menempelak Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika ini berdegar-degar dalam ucapan kempennya menyalahkan UMNO dan BN.
Sedangkan, katanya, Ahli Parlimen Pagoh itu yang menyerahkan kerusi Menteri Besar Johor, yang dipegang Datuk Dr. Sahruddin Jamal dari parti Bersatu kepada Datuk Hasni Mohamad dari UMNO pada Februari 2020.
“Pagoh menyalahkan UMNO dan BN, sedangkan dialah yang menyerahkan kerusi MB yang dipegang oleh Dr. Sahruddin dari Bersatu Perikatan Nasional (PN) kepada UMNO-BN.
“Rakyat jadi keliru dan bercelaru dengan mainan pemimpin politik sedemikian, hingga mengheret serta menjebak mereka dalam kancah yang semakin membebankan,” katanya. – MalaysiaGazette