MACC MITRA Funds Malaysian Indian Transformation Unit Ministry of National Unity B40
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik syarikat kawalan keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM200,000 untuk membantu pemilik kilang air batu menutup kes kematian pekerja asing akibat Covid-19.

Mahenthiran A/L Chinnasamy, 51, didakwa menerima suapan daripada Wong Huey pada 21 Julai dan 3 Ogos 2021.

Beliau yang dituduh bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Jika didapati bersalah, Mahenthiran boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Dalam pada itu, Pegawai Pendakwa Raya SPRM Selangor, Mohd Aliff Shaharuzaman memohon supaya pertuduhan berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama lapan pertuduhan sebelum ini.

“Permohonan ini dibuat kerana kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam yang pernah dituduh sebelum ini membabitkan saksi-saksi dan siasatan yang sama,” katanya.

Sehubungan itu, Hakim, Suzana Hussin mengekalkan RM40,000 untuk digunapakai jaminan di Mahkamah Shah Alam.

Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 25 Mac ini.

Untuk rekod, Mahenthiran pada 25 Febuari lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan lapan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM630,000 sebagai dorongan membantu menutup kes kematian pekerja warga asing akibat Covid-19.-MalaysiaGazette