Pihak polis menjalankan siasatan di lokasi kemalangan membabitkan sebuah lori dengan sembilan penunggang motosikal di di Kilometer 92.8 Lebuh Raya Utara - Selatan menghala Sungai Petani, Kedah semalam.

SUNGAI PETANI – Pemandu lori yang merempuh sembilan penunggang motosikal hingga menyebabkan dua daripada mereka maut di bawah jejambat di Kilometer 92.8 Lebuh Raya Utara – Selatan arah selatan di sini semalam, direman selama tiga hari.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, perintah reman terhadap suspek berusia 28 tahun itu bermula hari ini sehingga 10 Mac.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita hari ini.

MalaysiaGazette semalam melaporkan dua penunggang motosikal maut manakala enam lagi cedera akibat dirempuh sebuah lori ketika di bawah jejambat di Kilometer 92.8 Lebuh Raya Utara – Selatan arah selatan di sini.

Kejadian jam 2.40 petang itu berlaku ketika sembilan penunggang motosikal sedang berteduh di bawah jejambat tersebut akibat hujan lebat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan sebuah lori dengan sembilan motosikal itu pada jam 3.58 petang.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati sembilan penunggang motosikal itu sedang berteduh susulan hujan lebat dan masing-masing berada di sisi motosikal sendiri sebelum sebuah lori yang bergerak di lorong kiri merempuh mereka dari arah belakang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast