Mohamad Hassan ketika ditemui di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Mersing semasa PRN Johor hari ini.

MERSING – Barisan Nasional (BN) memilih pendirian berhati-hati dalam meramal bilangan kerusi yang bakal dimenangi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan memang mempunyai sasaran bilangan kerusi yang bakal dimenanginya untuk membentuk kerajaan negeri tetapi mengakui ‘geografi’ di Johor berlainan sedikit berbanding Melaka.

Melaka, menurutnya, tidak sebesar Johor manakala taburan penduduk sangat jelas yang mana 23 daripada 28 kerusi yang ditandingi adalah majoritinya pengundi Melayu maka ia  senang diramalkan.

“Tetapi di Johor ini taburan penduduknya adalah kepelbagaian kemajmukan di setiap kerusi DUN dan faktor nombor dua adalah ini kali pertama pengundi yang didaftarkan secara automatik menjadi pengundi yang mana saya rasa ada seramai 750,000 orang iaitu dan satu DUN (Dewan Undangan Negeri) terdiri daripada sekurang-kurangnya 6,000 pengundi baharu.

“Di tempat lain, ada 30,000 hingga 40,000 pengundi kali pertama jadi ia sedikit mendatangkan isyarat kami perlu berhati-hati di sini untuk membuat anggaran yang tepat.

“Tapi selepas kita buat dry run (bacaan di lapangan) kedua ini ia akan membantu kita untuk membuat jangkaan dan melihat kedudukan yang lebih tepat lagi dari eksesais yang pertama potensi jumlah kerusi yang boleh menang,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Mersing di sini hari ini.

Ditanya apakah BN kali ini akan merampas kerusi DUN Endau daripada penyandangnya Perikatan Nasional,  Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Johor itu yakin ia kembali kepada BN memandangkan ia merupakan kubu kuat gabungan parti itu sejak dahulu lagi.

“Saya rasa Endau kita akan dapat balik sebab Endau ini tempat BN tapi jangan kita selesa sangat kerana dalam jangkaan saya di kawasan Zon Pantai Timur Johor ini, kita menang dulu lapan perlapan dan insya-Allah kali ini akan dapat kekalkan lagi menang lapan per lapan,” katanya.

Namun Timbalan Presiden UMNO itu mengingatkan jenteranya supaya tidak terlalu selesa dalam soal mengambalikan kerusi itu kali ini.

Dalam pada itu ditanya mengenai taktik pembangkang yang terus menggunakan modal kluster mahkamah menyerang BN, Mohamad yakin ia tidak menggugat keyakinan pengundi.

Katanya, kluster mahkamah tidak ada kena mengena dengan Johor kali ini memandangkan Datuk Seri Najib Razak bukan bertanding di Johor dan perkara itu berjaya dibuktikan oleh keputusan bijak pengundi dalam PRN Melaka yang lalu.

“Justeru Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga terpaksa membela diri dalam zaman Perdana Menteri dari parti UMNO (sekarang) dan kita tak macam orang yang cakap pasal integriti di sebelah sana yang mana kes yang sedang berjalan digugurkan begitu sahaja.

“Jadi siapa yang berintegriti sekarang? Jangan cakap fasal integriti sedangkan parti awak itu penuh dengan ‘katak-katak lompat’, apa integriti dia nak cakap.

“Lagi pun, saya bukanlah turun ke Johor hari ini untuk bergaduh tapi nak meraih simpati supatya pengundi di johor berikanlah kepercayaan dan mandat semula kepada BN kerana BN sahajalah boleh membawa kestabilan politik.

“Kerajaan BN memerintah 62 tahun, kerajaan PH 22 bulan dan kerajaan PN 17 bulan di sini orang boleh bandingkan dan boleh menilai dengan baik, insya-Allah,” tegasnya.-MalaysiaGazette