KLUANG – Lebih 130 daripada 336 peneroka Felda Ayer Hitam di sini mengharapkan kawasan kediaman baharu disediakan demi kelangsungan hidup generasi kedua mereka di kawasan itu.
Rata-rata yang ditemui MalaysiaGazette berkata, perkara itu sudah lama dibangkitkan sejak kerajaan terdahulu lagi namun masih belum ada sebarang perubahan.
Subri Mohammad, 62, merupakan pesara berkata, pembaharuan memang ada dilakukan di felda itu oleh ahli Parlimennya dan penduduk setempat sebelum ini tetapi bukan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Namun, menjadi kebimbangan dan harapan penduduk adalah masalah perumahan yang masih tidak cukup untuk anak-anak mereka yang kini merupakan generasi kedua dan seterusnya.
“Harapan akan tinggal harapan sahaja, kita mengharapkan kerajaan buat sesuatu pembangunan dan masalah besar di sini adalah kawasan perumahan untuk generasi kedua yang masih tiada apa-apa seperti jalan, saliran air.
“Mereka masih belum dapat tanah untuk membina rumah sebab mengikut syarat di semua felda, untuk generasi kedua ini akan diberikan tanah namun di sini masih tidak cukup. Kawasan felda lain sampai terlebih pemberian tanah mereka.
“Saya nampak hal ini seperti mengikut aliran politik semasa, jika waktu itu UMNO yang memerintah barulah kita dapat tanah atau perumahan itu,” katanya.
Sementara itu, anak jati peneroka Felda Ayer Hitam yang telah menetap selama 57 tahun, Mohd Rashid Taha berkata, infrastuktur di kawasan itu juga perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
Ini kerana ia dilihat agak ketinggalan berbanding felda lain di Johor.
“Kami sebagai generasi kedua berharap sesiapa yang diberi mandat nanti, bantulah perbaiki infrastuktur di felda ini seperti saliran paip dan jalan yang masih menggunakan tanah merah walaupun telah lama kami mohon.
“Saya tidak mahu salahkan mana-mana kerajaan yang memerintah sebab ia sama sahaja dari dahulu dan sekarang. Dari segi pembangunan memang fleksibal terutama untuk perumahan perlu disegerakan termasuklah infrastuktur.
“Kami cuma harapkan permintaan ini ditunaikan segera sebab ia sudah lama dan kami tidak mahu hanya sekadar bersembang, berjanji manis untuk manifesto tetapi akhirnya tidak dilaksanakan untuk penduduk felda,” ujarnya penuh harapan.
Bagi anak generasi kedua Felda Ayer Hitam, Suzliana Kahar, 40, berkata, ketiadaan air setiap kali musim perayaan turut menjadi isu utama permasalahan kepada penduduk felda ini sejak sekian lamanya.
Katanya, situasi itu berlaku apabila ramai warga kota mula pulang ke desa sekaligus menyebabkan jumlah kepadatan penduduk meningkat serta tekanan air di kawasan tinggi tidak dapat salurkan.
“Kami berharap masalah air dapat diatasi segera sebab sudah terlalu lama hal ini berlaku dan pihak kami juga sudah maklum pada pihak atas tetapi tetap berlaku. Setiap kali musim perayaan air mesti tiada, tekanan air rendah.
“Bukan itu sahaja, kalau bekalan air tiba-tiba putus, mereka tidak bagi notis awal. Perkara ini buatkan kami di felda ini tertekan sebab kerap sangat berlaku. Kami minta berwajib atau sesiapa yang bertanggungjawab atasi segera isu ini,” katanya.
Manakala Wan Abdul Khamis Wan Harun, 40, yang telah berniaga hampir 30 tahun di Felda Ayer Hitam juga terkesan dengan isu masalah air hingga menyebabkan dia tidak dapat beroperasi.
Malah turut berpandangan kemajuan di felda itu dilihat agak ketinggalan berbanding felda-felda lain di Johor ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
“Isu air ini sudah lama berlaku sejak dahulu lagi, setiap kali orang ramai datang ke Felda Ayer Hitam ini mesti bekalan air asyik terputus terutama macam Hari Raya. Bila orang bandar balik kampung memang tiada air.
“Kedai saya selalu terjejas, buatkan kita tidak boleh berniaga. Kalau dari segi pembangunan pula, felda kita ini nampak macam ketinggalan sedikit sejak PH memerintah, tidak sama macam Barisan Nasional (BN) dahulu.
“Kami harap selepas ini siapa yang diberi mandat, segera bangunkan felda ini dengan sebaiknya hingga maju seperti felda lain sebab kami di sini nampak seperti sudah kebelakang daripada mereka semua,” jelasnya.
Selain itu, penduduk Felda Ayer Hitam turut berhadapan dengan ancaman haiwan liar sekaligus membimbangkan mereka apabila kehadiran gajah mula mengganggu penempatan penduduk di sini selain daripada monyet dan anjing liar.
Felda Ayer Hitam yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri Machap kini berdepan dengan empat penjuru antara BN, Parti Pejuang, Parti Demokratik dan Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Johor pada 12 Mac ini. – MalaysiaGazette