Ismail Sabri menyerahkan benih padi IS21 kepada wakil komuniti petani di Felcra Sri Mahkota, Semalui, Endau, Johor.

MERSING – Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) diminta memberi tumpuan untuk menghasilkan dua jenis benih padi yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan cuaca.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penghasilan biji benih padi baharu perlu dilakukan memandangkan hasil tanaman itu terjejas jika terdapat perubahan cuaca.

“Kita sebagai negara yang tidak menentu (cuaca), kadang-kadang padi sedang meranum, ada kalanya ditenggelami air dan akhirnya padi musnah.

“Saya baru bercakap dengan menteri MOSTI untuk melihat mendalam mengenai dua jenis benih padi itu yang mana di beberapa negara seperti di Filipina dan India mereka mempunyai benih padi yang tahan apabila ditenggelami air,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Benih Padi IS21 di Felcra Sri Mahkota, Semalui Endau, di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut meminta kajian dilakukan untuk menghasilkan benih padi yang tidak memerlukan kuantiti air yang banyak untuk hidup dan hanya perlu disiram seperti tanaman bunga dan sayuran.

Katanya, Institut Penyelidikan Dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) telah melakukan kajian mengenainya namun hasil tuainya adalah rendah iaitu antara tiga hingga empat tan sehektar.

Mengulas mengenai benih padi IS21 yang dijana melalui teknologi nuklear dengan kaedah mutasi aruhan sinaran gama, Ismail Sabri berkata, hasilnya positif dengan tuaian mencecah sembilan tan sehektar.

Tambah beliau, kos pengurusan sawah telah dapat dikurangkan memandangkan penanaman padi jenis ini tidak memerlukan penggunaan baja yang banyak.

“Berdasarkan maklum balas ini, saya percaya, jika dilebar luas penggunaan benih padi IS21 di Endau, para pesawah dan petani juga akan dapat menikmati manfaat daripada segi peningkatan pendapatan dan seterusnya taraf hidup mereka.

“Untuk makluman semua, benih padi IS21 ini mempunyai daya tahan tinggi terhadap cuaca ekstrem dan mempunyai daya rintang terhadap beberapa penyakit padi yang sering
merugikan pesawah,” ujar beliau.

Ismail Sabri berkata, selain meningkatkan taraf hidup pesawah, pengguna benih padi yang berkualiti dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada beras import serta dapat menjamin sekuriti makanan dan menyokong Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030.

Jelasnya, berikutan itu kerajaan sentiasa berusaha memastikan usaha mempertingkatkan produktiviti industri padi dilakukan secara proaktif termasuk memperkenalkan teknologi terkini.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pihaknya akan bekerjasama Agensi Nuklear Malaysia dan Agensi Angkasa Negara Malaysia (ANGKASA) untuk meneruskan penyelidikan dan pembangunan dua jenis benih padi baharu itu. – MalaysiaGazette