Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Reezal Merican hadir memberi sokongan kepada calon Paloh, Lee Ting Han

SEMBRONG – Parti lawan hanya mampu menggunakan isu-isu berkaitan pemimpin tertinggi UMNO yang mereka gelar ‘kluster mahkamah’ sebagai modal untuk meraih undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan tidak langsung menyentuh isu rakyat di negeri ini.

Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kehairanan bagaimana pembangkang tidak mampu mencari sebarang kepincangan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad ketika mentadbir Johor.

“Satu-satunya PRN yang saya tengok pihak lawan tidak dapat langsung cari isu untuk dihalakan atau tuding jari kepada Menteri Besar, Datuk Hasni sebaliknya pembangkang berterusan bercakap tentang kluster mahkamah sahaja.

”Langsung tiada isu-isu rakyat negeri ini. Pelik sekali, pembangkang tidak mampu menonjolkan kelemahan Datuk Menteri Besar, Hasni Mohammad. Apa maknanya itu?

“Itu bermaksud ’tacit approval’ iaitu pengiktirafan diam dan sunyi oleh pihak-pihak ini bahawa yang mampu mentadbir bumi Johor ini tidak lain tidak bukan, Barisan Nasional yang menteri besarnya adalah Datuk Hasni Mohammad,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan penduduk Paloh di sini hari ini bersama calon BN DUN Paloh, Lee Ting Han.

Dalam pada itu, kata Reezal Merican lagi, parti lawan juga seperti kehabisan modal kerana hanya menyentuh nama-nama besar dalam UMNO walhal mereka bukanlah calon bertanding pada PRN kali ini.

“Mereka sudah tidak habis modal untuk bercakap, untuk tuding jari. Untuk raih undi dengan bercakap sahaja. Hanya pandai cakap tentang kluster-kluster mahkamah yang sarat dengan penghinaan sahaja.

“Sedang kita tidak pernah pula berbuat demikian. Kita lawan bertanding cara demokrasi dan adil, tidak buat seperti mereka.

“Ingin saya ingatkan mereka jika terlupa, dalam kalangan pemimpin mereka juga ada yang terpalit dengan kes mahkamah. Syed Saddiq ada kes mahkamah tapi kita tidak pula panggil parti MUDA itu kluster mahkamah kerana itu bukan adab dan akhlak kita.

“Kes Lim Guan Eng yang didakwa terlibat dengan rasuah itu jauh lagi rumit, kita tidak panggil DAP itu kluster rasuah, kita tidak pula kata apa-apa ketika berkempen ini. Pada kita ini adalah proses demokrasi yang mana rakyat undi sesiapa sahaja. Bertandinglah secara demokrasi,” tegasnya. – MalaysiaGazette