TINGGAL tiga hari lagi sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung. Ketika artikel ini ditulis hanya Barisan Nasional telah mengumumkan dengan yakin calon Menteri Besar (MB) mereka iaitu Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Dua lagi parti gabungan, Perikatan Nasional (PH) dan Pakatan Harapan (PN) masih lagi berahsia. Tindakan itu menyebabkan ramai pengundi tertanya-tanya walaupun satu dua nama telah menjadi sebutan dan spekulasi.

PN dikhabarkan mencalonkan semula Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai menteri besar sementara Dr. Maszlee Malik pula disebut-sebut menteri besar PH.

Pentingkah mengisythirkan calon menteri besar? Mengapa ada parti yang menunggu sehingga saat akhir atau selepas menang untuk mengumumkan calon ketua kerajaan sekiranya dipilih oleh rakyat?

Tradisi yang dimulakan oleh pembangkang

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa menamakan calon menteri besar atau ketua menteri adalah tradisi yang dimulakan oleh parti pembangkang.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Jamaie Hamil berkata, isu siapa menteri besar atau ketua menteri tidak pernah dihiraukan oleh BN ketika parti itu kuat.

Dr. Jamaie Hamil

“Isu siapa calon menteri besar bermula tahun 2008 apabila ada beberapa negeri yang ditawan oleh pembangkang ketika itu iaitu Pas, DAP dan PKR. Ia menjadi satu daya penarik ketika itu. Ini sebenarnya diamalkan oleh parti pembangkang pada waktu itu.

“Kemudian selepas Pilihan Raya Umum ke-14 diikuti oleh Barisan Nasional. Maksudnya watak BN itu telah berubah. Dahulu dia rahsiakan siapa calon menteri besar, sekarang ini dia pula yang menjadi parti yang mendahului meletakkan calon MB,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat, pengundi kini sememangnya mahu mengetahui siapa bakal ketua kerajaan yang akan diketengahkan oleh parti yang bertanding.

Ini bagi memudahkan mereka untuk membuat perbandingan dan penilaian.

“Kalau diumumkan calon MB awal maknanya lebih ramai pengundi Johor dapat menilai kredibiliti calon ini. Memberikan rakyat lebih banyak masa untuk berfikir dan menilai.

“Kalau diberikan masa agak singkat maka rakyat atau pengundi tidak dapat menilai secara lebih lama ataupun lebih menyeluruh.

“Ini juga menyebabkan pengundi tidak pasti yang mana perlu disokong kerana mereka tidak mempuyai masa yang cukup untuk memikirkan, membuat penilaian terhadap calon tersebut berbanding calon yang telah lama diumumkan,” kata Dr. Awang Azman.

Dr. Awang Azman.

Umum calon MB lewat kerana tidak yakin

Terdapat parti politik yang memberi alasan bahawa pengumuman nama calon menteri besar bukanlah penting.

Pakatan Harapan misalnya berkata, fokus utama pucuk kepimpinan adalah untuk memenangi PRN dan memanfaatkan sehabis baik tempoh berkempen yang berbaki.

“PH tidak berbincang lagi calon jawatan menteri besar dalam parti komponen yang ada kerana ada perkara yang lebih penting untuk kita bincangkan iaitu mencapai kemenangan di Johor pada PRN kali ini.

“Bagi letak seseorang sebagai calon pentadbir negeri, ia perlukan perbincangan yang tepat dan keadaan masa yang sesuai. Kita berpendapat tempoh yang sesuai adalah apabila memperoleh kemenangan nanti,” kata Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan dalam sidang akhbar.

Datuk Ir. Hasni Mohammad

Bagaimanapun menurut Dr. Jamaie sikap yang diambil BN, PN dan PH dalam mengumumkan calon MB menunjukkan tahap kekuatan dan perpaduan parti tersebut ketika ini.

“Berdasarkan kepada Johor, saya nampak apa yang dilakukan oleh BN mencalonkan Hasni ingin menunjukkan ada kesatuan, kesepakatan daripada pelbagai parti dalam BN iaitu UMNO, MCA dan MIC. Maksudnya nanti tiada pergaduhan siapa nak jadi calon dan sebagainya.

“Kemudian ada parti pula yang merahsiakan untuk mencalonkan PKR ke, Bersatu ke, saya fikir begini, potensi untuk parti itu menang sebenarnya ragu-garu. Bila mereka ragu-ragu, hendak meletakkan siapa calon bukan satu faktor yang utamalah.

“Walaupun ada nama-nama tertentu yang menjadi sasaran. Tapi mungkin mereka tidak mahu ulang apa yang berlaku di Melaka. Mereka (PH) mencalonkan semula bekas Ketua Menteri Adly Zahari tapi akhirnya tewas dengan begitu teruk. Jadi saya fikir, itu juga barangkali sikap yang diambil oleh Bersatu, PKR untuk merahsiakannya,” jelas Dr. Jamaie.

Maszlee Malik

Pendapat yang hampir sama juga dilontarkan oleh Dr. Awang Azman. Sememangnya kemenangan perlu menjadi fokus utama PN dan PH.

Tambahan menurutnya, jika nama calon MB diumumkan lebih awal dikhuatiri akan berlaku bantahan oleh parti komponen dalam gabungan tersebut.

Kontroversi berkaitan calon menteri besar sangat tidak diperlukan oleh gabungan parti terbabit pada saat-saat akhir kempen.

“Dalam konteks Perikatan Nasional, mereka belum mencalonkan. Adakah yang layak itu daripada Bersatu atau daripada Pas? Ini bagi mengelakkan persengkataan politik daripada berlaku dalam kalangan penyokong mereka.

“Sama juga dengan PH. Jika dicalonkan menteri besar daripada Amanah, barangkali penyokong PKR tidak berpuas hati.

“Jadi sebaik-baik penyelesaian ialah berdasarkan demokrasi. Mana-mana parti yang memenangi kerusi yang banyak itulah yang sepatutnya lebih sesuai diketengahkan sebagai calob MB,” kata Dr. Awang Azman.

Dr. Sahruddin Jamal

Tambah beliau, dengan tidak menamakan sebarang calon MB maka individu terbabit tidak dapat dijadikan kritikan, sasaran dan dipersenda oleh pihak lawan.

Jadi, benarkah Datuk Dr Sahruddin dan Maszlee akan dicalonkan sebagai menteri besar oleh parti masing-masing? Bila?

Apa yang lebih penting adakah semua nama yang disebut sebagai calon MB itu akan dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya Sabtu ini? Sama-sama kita tunggu.- MalaysiaGazette