Azwan Ali

KUALA LUMPUR – Kontroversi melibatkan pengguguran Azwan Ali dari program realiti Mic On! semakin panas apabila pihak AwesomeTV menafikan dakwaan belum menjelaskan baki bayaran kepada pengaraca sensasi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas berkata, pihaknya sudah membuat bayaran penuh untuk 10 minggu kepada Azwan Ali pada hari yang sama dia dihentikan tugas sebagai pengacara program berkenaan.

Jelas beliau, bayaran penuh tetap diberikan biarpun Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA hanya melunaskan komitmennya dalam tempoh enam minggu.

“Seperti yang ditegaskan sebelum ini, pihak Awesome TV tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melanggar etika kerja terutamanya yang melibatkan program-program terbitan kami.

“Kerana mereka seharusnya memahami amanah dan tanggungjawab yang datang bersama dengan lantikan mereka.

“Merujuk kepada isu Azwan Ali yang menuntut baki bayaran untuk program MIC ON!, pihak kami memandang serius akan pertuduhan tersebut.

“Ini kerana pembayaran penuh untuk 10 minggu telah pun dibuat pada hari yang sama dia digugurkan iaitu pada Selasa, 8 Mac 2022 walaupun dia cuma melunaskan komitmen sebagai hos untuk tempoh enam minggu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, pihak Awesome TV turut menjelaskan bahawa surat pemberitahuan rasmi penamatan khidmat Azwan telah dikeluarkan pada Selasa lalu.

“Surat pemberitahuan rasmi mengenai penamatan khidmat dia juga telah dikeluarkan pada hari yang sama. Kami beranggapan isu bayaran untuk program MIC ON! sudahpun selesai dan tidak mahu memanjangkan lagi hal ini.

“Fokus utama kami sekarang adalah untuk menghabiskan program MIC ON! yang masih berbaki empat minggu lagi,” katanya lagi.

Pada Selasa, Azwan dihentikan tugas serta-merta selepas didakwa buat hal ketika mengendali program realiti tersebut.

Menurut laporan media, Azwan menuntut jumlah baki bayaran tertunggak seperti yang dijanjikan selain meminta pihak produksi untuk berhenti mengeluarkan kenyataan memburukkan namanya.

Azwan turut mendedahkan dia tidak menerima sebarang surat rasmi dan kesal dengan tindakan stesen berkenaan yang mengeluarkan kenyataan rasmi tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu. – MalaysiaGazette