Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah dan Ketua JSJK Superintendan E Sundra Rajan dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) di Bukit Beruang, Melaka.

MELAKA – Taktik ‘baik hati’ seorang ceti haram enggan menerima bayaran penuh hutang dilunaskan peminjamnya agar dapat menikmati faedah pinjaman wang tumpas apabila diberkas polis kelmarin.

Ketua Polis negeri, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, hasil penahanan suspek berdasarkan laporan di Bemban, polis turut merampas sembilan kad mesin juruwang automatik (ATM) dan wang tunai RM53,000.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku memulakan kegiatan itu sejak 2016 menjadikan peniaga dan kenalan sebagai peminjam dengan kadar faedah 10 peratus hingga 15 peratus selama dua tahun sebagai tempoh bayaran balik.

“Modus operandi digunakan, bila mangsa hendak bayar habis hutangnya, suspek tak nak terima supaya proses hutang itu lebih lama untuknya menikmati faedah hutang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) di Bukit Beruang di sini hari ini. Hadir sama Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah dan Ketua JSJK Superintendan E Sundra Rajan.

Mengulas lanjut Abdul Majid berkata, apabila faedah pinjaman semakin meningkat dan peminjam tidak mampu membayar, suspek akan mengugut peminjamnya termasuk menyimbah cat merah.

“Suspek kini direman tiga hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” katanya. – MalaysiaGazette