(dari kiri) Pengundi 18 tahun, Syazwani Rafaeh Shukor, Mohd Khairul Azhar Mohd Ridza dan Syazwani Rafaeh Shukor menunjukkan jari yang berdakwat selepas membuang undi di pusat mengundi DUN Maharani pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Sekolah Kebangsaan Ismail (1) Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2022.

MUAR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini menarik perhatian umum apabila ramai pengundi muda keluar buat kali pertama untuk mengundi susulan pelaksanaan Undi 18.

Tinjauan MalaysiaGazette di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Ismail 1 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani menyaksikan rata-rata anak muda begitu teruja dan bersemangat untuk menjadi salah seorang pengundi.

Ini kerana pentas PRN Johor menjadi medan pertama buat mereka untuk menyuarakan hasrat anak muda dalam memilih parti mana yang bakal memimpin kerajaan negeri.

Pengundi muda, Mohd Khairul Azhar Mohd Ridza, 18, menyifatkan anak-anak muda masa kini sudah lebih matang daripada usia sebenar mereka dan bakal menzahirkan pilihan yang bijak menerusi PRN Johor.

Mohd Khairul Azhar Mohd Ridza. Foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2022.

“Tak dinafikan memang saya teruja untuk mengundi buat kali pertama selain berpeluang melihat beberapa calon di DUN Maharani secara dekat ketika berada di kedai makan.

“Saya juga berpandangan bahawa anak muda Johor perlu mengambil tahu mengenai barisan calon yang bertanding supaya mudah untuk mereka membuat pilihan,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Kebangsaan Ismail 1 di sini, hari ini.

Berkongsi lanjut, Mohd Khairul berkata, kesempatan untuk mengundi bagi Undi 18 kali ini perlu direbut sebaiknya dalam memilih pemimpin yang dapat memberi jaminan masa hadapan buat anak muda.

Ketika ditanya apakah faktor yang mendorong dirinya untuk keluar mengundi, Mohd Khairul berkata, pilihan raya merupakan ruang untuk semua rakyat menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Sementara itu, bagi Jonathan Chua Ming Jun, 19, ibu bapanya menjadi antara pendorong utama kepadanya untuk keluar mengundi pada hari ini.

Jonathan Chua Ming Jun. Foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2022.

“Walaupun tidak berapa mengikuti rapat mengenai perjalanan politik tanah air, namun perasaan teruja apabila kali pertama mengundi tetap ada.

“Selain atas dorongan ibu bapa, saya sendiri sebagai generasi muda mahu cuba mengubah landskap politik negara dari didominasi oleh golongan berusia.

“Ini kerana ada yang dalam kalangan mereka sudah berada puluhan tahun dalam politik, mungkin sudah tiba masa kita tengok suasana yang berubah,” katanya yang menjadikan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai idola.

Dalam pada itu, seorang lagi pengundi muda, Syazwani Rafeah Shukor, 19, berkata, pada mulanya dia merasa berdebar ketika tiba di pusat mengundi memandangkan ini merupakan pengalaman kali pertama untuk mengundi.

Syazwani Rafaeh Shukor. Foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2022.

“Berdebar dan teruja kerana saya tak pernah ada pengalaman sebegini, hadi ini adalah kali pertama untuk mengundi.

“Ibu bapa bapa ada jugak mendorong supaya mengundi tapi kesedaran untuk keluar mengundi itu adalah dari diri saya sendiri untuk tunaikan tanggungjawab,” kata pelajar Universiti Tun Hussein Onn, Pagoh itu.

PRN Johor adalah pilihan raya pertama di negara ini bagi anak muda merasai sendiri pengalaman keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat membabitkan 173,177 individu berusia 18 hingga 20 tahun.

Kebenaran untuk anak muda mengundi kali ini adalah susulan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik diluluskan pada Mac 2019. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast