Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Sarawak perlu melahirkan tenaga mahirnya sendiri bagi memastikan kejayaan agenda ekonomi hidrogen yang diterajui kerajaan negeri itu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, pembangunan sumber manusia itu merupakan antara pengerak utama yang penting ke arah pembangunan ekonomi hidrogen.

“(Oleh itu) Sarawak perlu mempunyai institusi pengajian tinggi, pusat latihan vokasional dan pusat latihan kemahiran khas untuk menjana kemahiran dalam teknologi baharu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Konvokesyen Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS (International College of Advanced Technology Sarawak) ke-24 di sini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Abang Johari berkata di peringkat global, dijangkakan bahawa gas hidrogen bakal menjadi tenaga utama untuk jangka panjang di masa hadapan.

Oleh itu, jelasnya Sarawak sudah mula membangunkan projek pengunaan tenaga gas hidrogen terutamanya melibatkan bas dan kereta.

“Setakat ini Sarawak adalah negeri yang berada di hadapan dalam usaha membina ekonomi hidrogen dengan sasaran negeri ini akan menjadi pengeluar utama gas tersebut di rantau ini.

“(Malah) Pelabur asing juga sudah membuat komitmen untuk membina loji pengeluaran gas hidrogen hijau di Bintulu yang akan dieksport, khususnya ke Jepun,” katanya.

Seramai 697 graduan menerima sijil, diploma dan Ijazah Sarjana Muda pada Majlis Konvokesyen tersebut. – MalaysiaGazette