Lima sekeluarga hadir mengundi termasuklah tiga daripadanya pengundi muda.

KLUANG – Rata-rata pengundi muda yang pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 kelihatan begitu teruja, gembira dan lega kerana diberi peluang untuk menentukan wakil rakyat hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Sekolah Agama Taman Sri Lambak di sini mendapati lebih ramai pengundi muda hadir ditemani keluarga.

Situasi ini nampak kelainan berbanding pilihan-pilhan raya lalu apabila kumpulan belia ini lebih ramai di pusat mengundi di sini.

Kebanyakan mereka juga kelihatan seperti tidak kekok untuk bercakap tentang politik atau memberi temuramah kepada pengamal media di lokasi itu.

Nur Arissa Batrisyia yang berusia 19 tahun teruja mengundi kali pertama.

Menurut Nur Arissa Batrisyia, 19, dia begitu teruja dan gembira kerana dapat menggunakan haknya sebagai rakyat di negara mengundi sebuah kerajaan diimpikan olehnya.

Dia hadir bersama dua lagi adik-beradiknya sambil ditemani ibu bapa mereka.

“Memang gembira sangat-sangat. Baru tahu beginalah rupanya proses pengundian. Rasa telah diberikan hak untuk kami mengundi siapa yang kami mahu. 

“Kita juga tahu siapa kita hendak undi, apa yang baik dan buruk. Dulu hanya dengar mak ayah bercerita tentang pilihan raya dan kepentingan mengundi serta hak seorang pengundi, kini saya ada pengalaman dan rasa itu penting,” katanya selepas mengundi pagi ini.

Zamri Ibrahim dan isterinya Nur Azilah Zainal Abidin sentiasa mendidik anak-anak mereka tentang kepentingan mengundi walaupun pada usia muda.

Ayah kepada Nur Arissa, Zamri Ibrahim dan ibunya Nur Azilah Zainal Abidin memberitahu sejak kecil lagi anak-anak mereka sudah dididik untuk memahami kepentingan mengundi bagi memilih sebuah kerajaan stabil bagi masa depan.

Malah kata mereka, pandemik Covid-19 sebenarnya tidak langsung menghalang mereka sekeluarga hadir mengundi di kampung halaman di DUN Kahang walaupun kini menetap di Johor Bharu.

“Saya rasa didikan itu penting, mereka juga perlu faham pentingnya mengundi memilih kerajaan dan wakil rakyat mewakili kita untuk tempoh tertentu bagi memastikan bukan sahaja untuk masa depan kita sebaliknya untuk pembangunan negara sekali.

“Saya cuma berharap undi kita ini tidak sia-sia, wakil rakyat perlu mengotakan janji serta menjaga pengundi mereka dengan sebaik-baiknya, kali ini banyak golongan muda tampil mengundi, jangan kecewakan mereka,” kata Zamri.

Rozaimi Rozali, 28, Nurfitry Rozali, 24, Farha Iwani Rozali, 23 dan Nurfarizy Rozali, 20 mengundi di sini sekitar 11.30 tadi

Dalam pada itu, empat adik beradik yang juga merupakan pengundi pertama hadir mengundi pemimpin pilihan.

Mereka ialah Rozaimi Rozali, 28, Nurfitry Rozali, 24, Farha Iwani Rozali, 23 dan Nurfarizy Rozali, 20 mengundi di sini sekitar 11.30 tadi.

Nurfarizy berkata, dia teruja untuk mengundi kerana pengaruh keluarga yang sentiasa berbincang tentang hal-hal berkaitan politik.

“Jadi ini masa saya untuk mengundi siapa yang saya suka, yang saya percaya boleh buat kerja. Saya harap wakil yang terpilih kali ini tolonglah jalankan tanggungjawab dengan baik dan amanah,” ujarnya.

Nurfarizy Rozali, 20

Untuk makluman, pengundi Johor juga telah meningkat kepada 2.5 juta berbanding 1.8 juta pada PRU-14 dengan kira-kira 28 peratusnya atau 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran Undi 18. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast