PONTIAN – “Kadang ada (masyarakat) lebih-lebih. Nak lagi (bantuan). Sentiasa tak cukup. Tak bersyukur pada Tuhan. Kita ni tak kaya, tak miskin tapi mengundi saja lah.”
Itu reaksi Mohd Nor Osman, 62, kepada MalaysiaGazette ketika ditemui sebaik selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Raja, Pekan Nanas hari ini.
Beliau yang menunggang motosikal berwarna merah jambu ceria selesai menjalankan kewajipan mengundi calon pilihannya tengah hari ini.
Ditanya tentang harapannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Mohd Nor berkata, dia tidak mengharapkan apa-apa sebaliknya menerima apa saja bantuan yang disediakan kerajaan.
Dalam pada itu, bagi pengundi muda yang ditemui pula berharap, calon parti yang bertanding dapat membantu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri Johor.
“Kali ini saya betul-betul mengharapkan perubahan terutamanya buat golongan muda seperti kami,” kata Norfarhana Najihah Norahmat, 32 selepas selesai mengundi.
Pandangan itu turut dikongsi rakannya, Azreen Najwa Hamidon, 27 yang turut mengharapkan pemimpin yang dipilih kelak dapat mengeratkan kembali perpaduan rakyat di negeri ini.
“Jika dia terpilih atau menang diharap dia dapat memimpin Johor dan kawasan ini dengan baik,” kata Azreen.
Seorang lagi pengundi dalam kalangan warga emas yang ditemui juga mengharapkan perkara sama buat calon yang dipilih.
“Harapan saya, kalau dia tu boleh bekerja demi rakyat, itulah yang terbaik,” kata Rukiah Riyok, 62.
Menurut Rukiah, pengundi-pengundi kini lebih bijak untuk memberikan mandat kepada calon yang diyakini.
Bagaimanapun, tinjauan MalaysiaGazette di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Pengkalan Raja, Pekan Nanas di sini hari ini mendapati kehadiran pengundi-pengundi di sini tidak begitu menggalakkan menjelang tengah hari.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan kehadiran pengundi setakat jam 12 tengah hari ialah 29 peratus.-MalaysiaGazette