Kerajaan negeri baharu BN di Johor digesa segera fokus pembangunan daerah Mersing tanpa alasan kerana sudah diberi mandat besar untuk mentadbir kerajaan. - Gambar hiasan.

MERSING – Bandar Mersing yang sesak dan menjadi tumpuan sepanjang dua minggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini kembali tenang.

Rakyat Mersing sudah kembali sibuk dengan urusan harian mereka selepas menunaikan tanggungjawab demokrasi memilih kerajaan baharu menerusi proses undi semalam.

Tiada lagi bunyi siren polis yang mengiringi kenderaan pemimpin memenuhi jalan utama Mersing dari Tenggaroh hingga ke Endau.

Rata-rata penduduk Mersing semalam meletakkan syarat sangat jelas kepada Barisan Nasional (BN) yang menang dengan mahu melihat fokus pembangunan Mersing dilakukan.

Seorang penjaja warga emas dikenali sebagai Siew King Heng, 73, tumpang gembira kejayaan BN yang berjaya memperoleh mandat besar dengan menang 40 kerusi DUN berbanding sasaran majoriti mudah untuk memerintah.

King Heng

“Saya menumpang gembira dengan kemenangan BN semalam, mereka berkempen meminta mandat kami di Johor dengan alasan kestabilan yang boleh memudahkan pembangunan rakyat.

“Sekarang mandat besar yang diharapkan sudah diberi, kuasa di tangan kamu.. sekarang jangan buang masa dan segera fokus untuk menunaikan ikhtiar yang kamu janjikan untuk mensejahterakan rakyat termasuk daerah Mersing ini,” katanya.

Beliau mahu wakil rakyat menang kali ini membantu Bandar Mersing dimajukan dan dikembalikan semula kepada rakyat Mersing.

“Mersing tiada hiburan, orang luar datang kecewa infrastruktur hancur, jeti ke pulau tak terurus, saya duduk Mersing 70 tahun sejak bapa dan datuk semua duduk sini lebih 100 tahun dan Mersing tetap sama tanpa pembangunan..wakil rakyat sekarang kena buat kerja segera.

“Kamu cakap nak ubah wajah Mersing jadi hab pelancongan, cakap mulut sahaja tetapi secara realistik tiada apa-apa berlaku,” ujarnya.

Semalam calon BN bagi DUN Tenggaroh, Raven Kumar berjaya mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh majoriti 1,300 undi mengenepikan pesaing terdekatnya daripada Perikatan Nasional.

Bagi kerusi DUN Endau, calon Perikatan Nasional, Alwiyah Talib mempertahankan kerusinya untuk penggal kedua berturut-turut dengan menewaskan calon BN, Youzaimi Yusof dengan majoriti 3,041 undi semalam

Seorang lagi penduduk, Lim Chee Keong@Pravind Lim, 46, pula meminta calon yang menang supaya melaksanakan amanah yang diberikan pengundi sebaik-baiknya.

Pravind Lim

“Jika anda gagal memberi khidmat yang baik maka kesannya bukan hanya kepada kamu dan parti kamu tetapi juga kepada penduduk yang kamu wakili.

“Khidmat dan bantuan secara ikhlas kepada yang memerlukan bukan hanya semasa tempoh berkempen selama 14 hari tetapi juga untuk tempoh lima tahun akan datang, maka wakil rakyat jangan selepas ini tunjukkan perangai monyet, suka menghilangkan diri.

“Pada calon yang tewas, rapatkan hubungan silaturahim yang sedikit terlepas semasa perang berkempen sejak 26 Februari lalu dan khidmat anda masih diperlukan pengundi Mersing..maka hentikanlah perbalahan dan persengketaan dan sama sama perjuangkan pembangunan untuk daerah dan selesaikan satu persatu masalah penduduk Mersing,” ujarnya.

Dalam pada itu, peniaga, Baharin Abdul Aziz, 55, berkata,  pengundi kini sudah memberikan mandat yang dituntut BN bukan sekadar majoriti mudah tapi lebih besar dengan menyapu 40 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri yang kuat.

Selepas ini, katanya, tiada soal untuk wakil rakyat lompat parti lagi.

Baharin

“Jadi dalam masa lima tahun akan datang selepas ini wakil-wakil rakyat yang menang kali ini tidak boleh berikan sebarang alasan selepas ini berhubung segala projek pembangunan khususnya di daerah Mersing yang masih mundur dan menjadi pekan koboi, jalan raya seribu tampal sukarkan rakyat.

“Mersing sebagai hab pelancongan hanya sekadar indah khabar selama ini dan persepsi ini perlu diubah segera dan rakyat Mersing tak dapat apa-apa sedangkan pekan Mersing sendiri tak kelihatan seperti tumpuan pelancongan,” katanya.

Menurut Baharin, rakyat bukan meminta bangunan pencakar langit cuma pemodenan yang asas dan sempurna dan aspek mensejehterakan rakyat setempat pun sudah memadai..-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.