Gambar hiasan.

MELAKA – Sudahlah kempunan dengan perkhidmatan seks yang ditawarkan, wang simpanan berjumlah RM10,000 juga lesap ‘dikerjakan’ sindiket penipuan dalam talian.

Itu nasib malang seorang pelajar lelaki sebuah kolej di negeri ini yang menjadi mangsa terbaharu penipuan sindiket terbabit pada Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Deputi Superintendan Azmi Aziz berkata, mangsa berusia 18 tahun terjerat dalam penipuan tersebut melalui pautan laman web menerusi Twitter.

“Mangsa kemudian telah menekan pautan tersebut sebelum disambungkan ke akaun Telegram menggunakan nama @Xiaoai18 yang menawarkan pakej perkhidmatan seks pada harga RM300 untuk tempoh dua jam.

“Selepas bayaran dibuat melalui tambah nilai kredit virtual Razer Gold, mangsa diminta menunggu di hadapan sebuah kedai serbaneka di Batu Berendam pada pukul 1 tengah hariĀ  pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azmi berkata, mangsa kemudian dihubungi seorang lelaki yang memintanya membuat bayaran deposit tambahan sebagai cagaran bagi memastikan pekerja wanita terbabit tidak dicederakannya.

“Percaya dengan arahan itu, mangsa telah membuat pindahan wang simpannya sebanyak lima kali keseluruhan berjumlah RM10,000 ke dalam akaun diberikan lelaki terbabit.

“Dia bagaimanapun menyedari ditipu selepas tidak dihubungi mana-mana pekerja wanita yang dilanggannya itu dan tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Baru Sabtu lalu,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- MalaysiaGazette