Jonathan Yasin

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) merekodkan sebanyak 51,631 kes jenayah dalam talian dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM1.6 bilion.

Timbalan Menterinya, Jonathan Yasin berkata, jumlah kes dan nilai kerugian itu adalah untuk tempoh 2019 hingga 2021.

“Berdasarkan statistik 2019 sehingga 2021, kes belian online mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 18,897 kes berbanding kes melibatkan pinjaman tidak wujud 15,546 kes.

“Pelbagai usaha telah dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memerangi sindiket penipuan ini.

“Ini termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian tangkapan dan seterusnya menjalankan pendakwaan ke atas mereka yang terlibat dalam penipuan,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Kampar, Su Keong Siong meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan secara terperinci statistik kes penipuan pembelian dalam talian untuk tempoh 2019 ke 2021.

Katanya, apakah langkah yang diambil untuk membendung masalah penipuan pembelian dalam talian agar ia tidak menjejaskan kerancakan urus niaga bentuk baharu ini.

Menurut Jonathan, sejak 2019 hingga 2021 sebanyak 26,359 tangkapan telah dibuat dan 16,029 pertuduhan telah pun dilaksanakan.

Antara langkah lain diambil dan dirancang PDRM ialah menjalankan ceramah, taklimat dan sesi dialog kepada kakitangan kerajaan, swasta dan NGO secara berkala.

“Sesi itu dijalankan secara atas talian, medium facebook, televisyen dan radio serta menyediakan talian aduan 03-2610 1559 atau 03-2610 1599.

“Orang ramai boleh membuat panggilan untuk mendapatkan maklumat dan menyemak kesahihan panggilan bagi sebarang transaksi yang meragukan,” katanya. – MalaysiaGazette